Bekas Pemain Badminton Negara Kongsi Tip Pada Program Komuniti Sukan ABS | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Bekas pemain badminton negara kongsi tip pada Program Komuniti Sukan ABS

Bekas pemain badminton negara kongsi tip pada Program Komuniti Sukan ABS

Oleh : Nur Azmina Mohd Azman


SERDANG, 30 Mei – Dua bekas pemain badminton negara - Iskandar Zulkarnain dan Hafiz Hashim – menasihatkan mereka yang mahu menceburi dan berjaya dalam sukan itu supaya berusaha bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa ke arah mencapai apa yang dihasratkan.      

Kedua-dua mereka berkongsi pengalaman, tip dan teknik permainan badminton pada program  komuniti sukan Aktif Bersama Sifu 3.0 (Badminton) (ABS 3.0) yang diadakan secara atas talian.  Program itu dianjurkan Sekretariat Sukan Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, dan merupakan siri ketiga.

Iskandar berkata pemain perlu merancang strategi permainan dan bijak membaca pergerakan lawan.

“Nasihat saya agar mereka ingin berjinak-jinak dalam sukan badminton untuk tidak mudah berputus asa dan terus belajar untuk mencari kelemahan diri dan mengatasinya,” katanya.

Hafiz berkongsi cabaran ketika beliau menjalani latihan intensiti tinggi sebagai persiapan menyertai kejohanan antarabangsa, berharap mereka yang menceburi sukan itu untuk sentiasa   melakukan senaman.

“Mereka perlu kekal aktif serta tidak mudah mengalah,” katanya. Program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 2,000 jumlah tontonan dicatatkan.  

Penasihat sekretariat sukan yang juga penasihat program, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata program itu mampu memberi kesan besar kepada seseorang dan ilmu yang disampaikan dapat menaikkan semangat individu untuk melibatkan diri dalam bidang sukan, seterusnya menaikkan mutu sukan negara.

“Saya berharap program sebegini dapat memberi motivasi kepada semua untuk kekal cergas dan aktif meskipun dalam keadaan norma baharu,” katanya.

Pengarah Program, Falah Aidil Zainal Abidin, yang juga Naib Pengerusi Sekretariat Sukan MPK KTDI berkata beliau amat berbangga dan teruja kerana program itu telah menjadi satu fenomena kepada penonton sejak program ABS 1.0 dan ABS 2.0.

“Kami sentiasa berusaha untuk memikirkan pelbagai inisiatif untuk menjalankan program tersebut ketika dalam keadaan pandemik ini dengan lebih menarik dan berkualiti untuk terus menambat hati penonton,” katanya.

Segmen pertama dimulakan dengan penerangan daripada Sifu Amirul dan Sifu Farah berkenaan taktikal permainan bagi kategori perseorangan. Mereka turut berkongsi mengenai teknik pegangan raket dan pukulan.

Dalam segmen berikutnya, Sifu Maruth dan Sifu Muliani menerangkan mengenai strategi dalam permainan beregu dan beregu campuran, serta cara mengatasi salah faham antara pasangan beregu semasa perlawanan. – UPM

Tarikh Input: 23/06/2021 | Kemaskini: 23/06/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKXTAe:19:50