| Universiti Putra Malaysia

AWAC 2017 dapat sambutan menggalakkan

PUTRAJAYA, 21 Mei – Lebih 2,000 orang mengunjungi program Kempen Kesedaran Kebajikan Haiwan (AWAC) 2017 yang diadakan selama dua hari.

Program itu yang dijalankan oleh pelajar tahun satu Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengambil kursus kokurikulum Bakti Siswa, bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kebajikan haiwan dan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

 AWAC 2017 diadakan pada 20 Mei dan 21 Mei di IOI City Mall Putrajaya dan AEON Cheras Selatan.

Fokus utama kempen adalah untuk mendedahkan orang ramai mengenai Akta Kebajikan Haiwan 2015, penjagaan haiwan peliharaan yang betul, vaksin untuk haiwan peliharaan dan pengkasian haiwan.

Sesi  perkongsian ilmu bersama Dr Rozanaliza Radzi mengenai pengkasian haiwan dan Dr. Saravanan Kumar mengenai Akta Kebajikan Haiwan 2015 juga diadakan.

Selain itu, pelbagai permainan menarik seperti cat muka bertemakan haiwan secara percuma, booth gambar, sesi mewarna kanak-kanak, paparan video mengenai  kebajikan haiwan dan tarian flashmob juga diadakan. 

Kempen itu sedikit sebanyak dapat mendidik masyarakat mengenai kebajikan haiwan seterusnya untuk pihak-pihak yang bertanggungjawab mempertingkatkan usaha berkaitan kebajikan haiwan.

Seramai 121 orang pelajar bersama empat orang fasilitator iaitu pensyarah veterinar membuat persediaan penganjuran kempen itu dengan sasaran sekurang-kurangnya 1,000 orang awam mengunjunginya.

Melalui kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kempen itu berjaya menarik lebih 2,000 orang pelawat. - UPM

 

WXDcVA~