| Universiti Putra Malaysia

AUTISME TIDAK HALANG CIPTA KEJAYAAN

Oleh Putri Nabila Zulfakar

SERDANG, 17 Nov - Meskipun dilahirkan sebagai anak istimewa yang mengalami masalah autisme namun kecekalan dan keazaman Farah Raihanah Atan, 26, untuk bergelar seorang graduan wajar dicontohi generasi muda yang lain.

Minatnya yang mendalam terhadap Bahasa Inggeris mendorongnya untuk berjaya menghabiskan pengajian tepat pada waktunya dan menerima skrol Bacelor Sastera (Bahasa Inggeris) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia kali ke-43, di sini, hari ini.

Menurut Farah Raihanah, beliau mempunyai kesukaran untuk bertutur sejak dari kecil. Namun begitu, Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang dipelajarinya terlebih dahulu malah sering berkomunikasi dengan ibu bapanya menggunakan bahasa tersebut.

‘Saya memang meminati Bahasa Inggeris cuma kurang mahir dalam bidang kesusasteraan yang dan lebih tertarik ke arah linguistik kerana kursus itu lebih teknikal,’ katanya.

Beliau yang menjadikan Helen Keller, seorang penulis yang buta dan pekak, sebagai sumber inspirasinya dan mengagumi kisah Albert Einstein mengakui bahawa menjaga hubungan dengan Allah juga adalah antara resepi kejayaannya.

‘Saya ingin menasihati semua lebih-lebih lagi kepada yang beragama Islam. Segala apa yang ingin dilakukan mestilah niat kerana Allah SWT sahaja kerana hanya Dia yang berkuasa,’ katanya. - UPM

SXEYRA~