| Universiti Putra Malaysia

Atlet Paralimpik negara dari UPM terima insentif

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 16 Nov - Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Azwar Bakar@Ibrahim, yang melakar pencapaian menduduki ranking keenam acara ping pong pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, menerima insentif daripada UPM.

Beliau menerima wang tunai RM1,000 dan sijil yang disampaikan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Atlet Sukan UPM di sini.

Seramai 45 atlet kebangsaan dari UPM yang mewakili negara dalam pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang 2016, menerima insentif pada majlis itu.

Mohamad Azwar, 29, dari Terengganu bertanding dalam acara perseorangan ping pong kategori TT10 dalam Sukan Paralimpik untuk atlet kurang upaya itu yang berlangsung dari 7 hingga 18 September lalu.

Beliau tewas pada peringkat suku akhir kepada pemain dari China yang muncul juara.

Katanya, beliau terharu dan amat berterima kasih kepada UPM yang menghargai orang kurang upaya sepertinya.

“UPM memberi insentif bukan saja kepada atlet normal di kalangan pelajar UPM yang mewakili negara tetapi juga kepada atlet kurang upaya seperti saya,” katanya ketika ditemu bual.

Beliau yang bertugas di UPM sejak lapan bulan lalu, berkata selepas ini beliau akan membantu dan memberi lebih penumpuan melatih pelajar dalam sukan ping pong.

Sebelum ini, Mohamad Azwar turut beraksi pada Sukan Paralimpik London 2012 tetapi ketika itu menduduki ranking ke-14.

Katanya, beliau meminati pelbagai jenis sukan dan mula bermain ping pong pada usia 12 tahun dan mendapati sukan itu sesuai dengan dirinya.

“Saya mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 yang diadakan di Terengganu. Bermula dari situ saya dipanggil untuk mewakili negara bagi kategori atlet kurang upaya,” katanya. - UPM

   

 


WXEUUA3~