| Universiti Putra Malaysia

Atlet Hoki Negara Dianugerahi Pingat Razlan Putra

Oleh: Dr. Cheng Kai Wah
Pensyarah FEM


SERDANG, 8 Jan – Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, 27, berjaya dianugerahi Pingat Razlan Putra dan memperoleh Bacelor Sains (Pembangunan Manusia), Fakulti Ekologi Manusia (FEM) pada Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

“Saya amat terharu kerana saya telah berjaya mendapat Bacelor pada hari ini walaupun ia memerlukan masa lima tahun dan berpuas hati dengan pencapaian saya baik dalam bidang hoki ataupun akademik,” katanya.

Antara pencapaian beliau, Syed Mohamad Syafiq pernah mewakili Malaysia dalam Men’s Hockey Odisha World Cup 2018, pemegang Pingat Perak dalam Sukan Asia 2018 dan pemenang Pingat Gangsa dalam Asian Champion Trophy 2018.

Katanya, cabaran yang paling ketara dalam tempoh pengajian adalah pembahagian masa antara latihan pasukan negara serta tugasan akademik kerana waktu latihan atlet negara biasanya akan bermula dari 7:30 pagi hingga 10:00 pagi.

Beliau kemudiannya perlu menyambung semula sesi latihannya pada waktu petang iaitu dari 4:30 petang hingga 7:00 petang.

“Saya berterima kasih kepada pensyarah dan rakan sekelas yang memahami kekangan masa atlet. Mereka amat dedikasi serta memberi saya peluang dan masa yang mencukupi untuk melengkapkan tugasan sepanjang pengajian di UPM,” katanya.

Tambah beliau, beliau perlu bijak membahagikan masa untuk diri sendiri, keluarga, latihan pasukan negara dan beriadah.

Selain itu, beliau juga sentiasa berhubung dengan pensyarah dan rakan sekelas jika berhadapan dengan masalah akademik.

Beliau kini merancang untuk menyambung pengajian dalam Master Pentadbiran Perniagaan di Sekolah Pengajian Ekonomi (SPE), UPM. – UPM

SXDdHA~