| Universiti Putra Malaysia

ASEAN-ELT platform pendidik kongsi idea pembelajaran Bahasa Inggeris

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Marina Ismail

 

MELAKA, 15 Mac – Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan “The 1st International Asean English Language Teaching Conference 2018” (ASEAN-ELT 2018) bagi memberi platform kepada guru sekolah dan warga pendidik berkongsi idea pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata persidangan itu bertujuan  membantu mereka yang mengajar Bahasa Inggeris dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat tinggi.

“Saya berharap persidangan ini akan menjadi pembuka mata dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dengan amalan terbaik yang boleh dikongsi oleh peserta dan diaplikasikan dalam pengajaran kelak,” katanya.

Beliau berkata, melalui persidangan itu UPM mendapati bahawa pendidik memerlukan input daripada pakar serta amalan terbaik dalam pengajaran kelas dan memerlukan idea terutamanya daripada mereka dalam bidang Seni Persembahan untuk menjadikan pengajaran lebih kreatif.

“ASEAN-ELT 2018 turut melibatkan guru-guru yang menjadi model peranan dalam komuniti mereka serta individu yang berada di luar bidang pengajaran tetapi mempunyai idea mengajar lebih kreatif,” katanya.

 

Pengerusi Persidangan  ASEAN-ELT 2018, Prof. Dr. Jayakaran Mukundan berkata persidangan itu yang bertemakan ‘Maximizing the Potential in ASEAN Diversities Through English’ mengumpulkan pembentang tersohor dalam pengajaran Bahasa Inggeris dari seluruh dunia dari pelbagai genre.

“Ini memberi peluang kepada peserta untuk membina perhubungan serta berkongsi kepakaran dalam menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris untuk kebaikan semua ahli dalam negara ASEAN,” katanya.

ASEAN-ELT 2018 mengumpulkan pembentang tersohor dunia dalam bidang Bahasa Inggeris antaranya Prof. Alan Maley, Mr. Breis seorang hip hopper dan pemenang penglipur lara Jan Blake dari United Kingdom; Prof. Carolyn Graham, pengasas jazz chant dari Amerika Syarikat; Prof. Jack C.Richards dan Prof. Rod Ellis dari New Zealand. - UPM

 

 

 

WXEYEAf~