| Universiti Putra Malaysia

Asasi Education Fair 2016 buka ruang pelajar terokai bidang pengajian di UPM


Oleh: Yasmin Yusoff
Foto Oleh: Norazreen Awang

SERDANG, 2 Mac – Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPER), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Asasi Education Fair 2016 bagi membuka ruang pelajar menerokai bidang pengajian di universiti ini.

Pengarah ASPER UPM, Prof. Madya Dr. Norihan Md. Ariffin berkata program tahunan ASPER itu adalah platform untuk mempromosikan UPM kepada masyarakat khususnya kepada pelajar lepasan sekolah dan matrikulasi bagi menyambung pengajian di UPM.

“Penganjuran pameran ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar yang akan menamatkan Program Asasi Sains Pertanian bagi mendapatkan informasi mengenai program bachelor yang ditawarkan,” katanya.



Beliau berkata, pelajar turut ditawarkan tiga kemasukan istimewa iaitu, kemasukan laluan pantas, kemasukan arus perdana dan kemasukan September.

“Pameran ini dapat memberikan pendekatan kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarat kemasukan yang disediakan oleh program ASPER,” katanya.

Selain itu, program ini secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai program yang ditawarkan terutamanya yang berkaitan dengan syarat kemasukan dan kadar pembayaran yuran.



Pameran turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin serta dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah kepada pengunjung.

Asasi Education Fair 2016 turut menyediakan pameran program-program yang ditawarkan oleh UPM melibatkan kesemua16 fakulti termasuk Kampus UPM Bintulu, Sarawak.

Booth ruang diskusi untuk pengunjung berinteraksi dengan alumni pelajar serta tenaga pengajar khas mengenai UPM dan Pusat Asasi Sains Pertanian diadakan pada program penganjuran tahun kelima ini.

Selain daripada mendapat informasi berkaitan program di fakulti, booth Seksyen Kaunseling Pelajar turut dibuka bagi pelajar untuk mendapatkan informasi kecenderungan minat pelajar yang bersesuaian dengan program yang akan dipilih. - UPM


 


SXESPAX~