ASAIHL Laksana Strategi Lautan Biru Kukuh Kerjasama Universiti Dunia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » ASAIHL laksana strategi lautan biru kukuh kerjasama universiti dunia

ASAIHL laksana strategi lautan biru kukuh kerjasama universiti dunia

Oleh Azman Zakaria



ISFAHAN (IRAN), 23 Mei  --  Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) melaksanakan strategi ‘lautan biru’ bagi menggalak dan mengukuhkan kerjasama antara universiti-universiti seluruh dunia, kata Presiden Lembaga Pemegang Amanah ASAIHL, Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Pelaksanaan strategi berkenaan adalah melalui perkongsian pengetahuan dan kepakaran di kalangan anggota, katanya pada sesi ke-59 persidangan ASAIHL 2015 di  sini, 23 Mei lalu Ialu, yang dipetik agensi berita Iran, IRNA.

Pembangunan pengetahuan melalui kerjasama serantau dan antarabangsa adalah antara isu penting dalam pendidikan tinggi, katanya sambil menambah kata  bahawa, projek penyelidikan bersama kini sedang dijalankan.



Beliau berkata tema persidangan itu " kerjasama serantau dan antarabangsa dalam penyelidikan, kurikulum dan pengalaman pelajar” menggambarkan mengenai pentingnya latihan secara global pada masa ini.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata kerjasama serantau dan antarabangsa boleh membantu menangani cabaran baharu dalam sistem pendidikan institusi pendidikan tinggi.

Beliau berkata satu daripada matlamat penting pendidikan tinggi adalah melahirkan insan seimbang, bermaklumat, bertanggungjawab, bersemangat tinggi, bijaksana serta berupaya membuat keputusan pengurusan.



Pelajar universiti pula katanya, perlu sentiasa peka dengan setiap perkembangan, bermotivasi dan memiliki kemahiran insaniah (soft skills) untuk membolehkan mereka mengatasi masalah dihadapi .

Beliau juga berkata, latihan memberi kesan jangka panjang ke atas masyarakat dan negara-negara membangun melalui kualiti sumber manusianya, sambil menegaskan bahawa latihan tidak perlu menjadi satu proses cuba jaya( trial and error), tetapi perlu mengambil kira kualiti dan memperkasakan sumber manusia itu sendiri.


Sebanyak 197 universiti anggota ASAIHL, kira-kira 100 naib rektor dan wakil diplomatik beberapa negara menghadiri persidangan tiga hari itu yang bertemakan "Menjelang 2020: Kerjasama Serantau dan Antarabangsa Dalam Penyelidikan, Kurikulum dan Pengalaman Pelajar."

Topik perbincangan adalah berkaitan kerjasama dalam penyelidikan, perkongsian dan pemindahan maklumat, pengetahuan serta pelaburan, kursus bersama, pertukaran pelajar, isu mata wang serta pemantauan kualiti pendidikan tinggi.

ASAIHL ditubuhkan atas inisiatif lapan universiti Asia Tenggara di Bangkok pada tahun 1956 sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan bertujuan membantu institusi anggotanya dalam membentuk identiti serantau selain mencapai persamaan antarabangsa dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan awam.  

Sementara itu menurut laporan Agensi Berita Azad (ANA),  Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjadi tuan rumah persidangan tahun 2017 yang akan diadakan di Dubai.

Perkara itu dinyatakan Presiden Universiti Islam Azad di Isfahan, Dr. Hamid Mirzadeh yang menjadi  tuan rumah persidangan  tahun ini.

Wakil dari UAE, Dr Shahriari dalam temu bual dengan agensi berita ANA menjelaskan ASAIHL yang diwujudkan hampir 60 tahun lalu dengan keahlian daripada negara-negara Asia Tenggara kini secara beransur-ansur disertai universiti dari seluruh dunia dan dari benua yang berbeza.

Katanya, Universiti UAE membuka ruang pameran di dewan pameran, selain penyertaan aktif pada persidangan itu serta menawarkan potensi bagi pembangunan kerjasama antarabangsa dalam bidang latihan bersama, persidangan sainifik, pertukaran profesor dan pelajar serta mewujudkan syarikat yang ditubuhkan secara bersama oleh universiti yang mengambil bahagian dalam persidangan itu.

Shahriari berkata beliau juga bertemu dengan Prof Dato’ Dr Mohd Fauzi dan setiausaha agung ASAIHL, Dr. Ninnat Olanvoravuth di luar sesi persidangan itu. - UPM

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563458101