ASAIHL Bakal Perkenal Program Kolaborasi Antarabangsa ‘ASAIHL Mundus’ | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » ASAIHL bakal perkenal program kolaborasi antarabangsa ‘ASAIHL Mundus’

ASAIHL bakal perkenal program kolaborasi antarabangsa ‘ASAIHL Mundus’

Oleh Mohd Nazri Md. Yasin

PHITSANULOK (Thailand) - Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) akan memperkenalkan program koloborasi antarabangsa ‘ASAIHL Mundus’, yang mengambil semangat kerjasama Eropah dan Asia bagi membina kesepakatan pendidikan untuk kepentingan generasi masa depan.

Konsep program itu dibentangkan untuk pertama kalinya pada Persidangan Antarabangsa ASAIHL yang bertemakan ‘Better Life Expectancy through Education, Research, and Innovation’ di Neresuan University, di sini, pada 13-15 Disember 2017.

Turut diadakan ialah mesyuarat dwi tahunan Lembaga Pemegang Amanah ASAIHL sebelum daripada persidangan itu.

Konsep program ‘ASAIHL Mundus’ itu dibentangkan oleh wakil Universiti Montpellier, Perancis, Prof. Dr. Roger Frutos.

 

Dari kiri: Presiden Gazvin Islamic Azad University, M Mousakhani; Kaunselor Pendidikan Kedutaan Iran, Dr Abbas Ghanbari; Prof Datin Paduka Dato’ Dr. Aini;  Dr. Sophon; Naib Presiden Naresuan University, Prof Dr. Sukhgij Ysothonsreekul;  Dr Ninnat dan Prof. Dato’ Dr.-Ing Renuganth. (English: From left:  Gazvin Islamic Azad University President, M Mousakhani; Education Counsellor Iran Embassy, Dr Abbas Ghanbari;  Prof Datin Paduka Dato’ Dr. Aini; Dr. Sophon, Vice President Naresuan University, Prof  Dr. Sukhgij Ysothonsreekul; Dr Ninnat, and Prof. Dato’ Dr.-Ing Renuganth.

Delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) pada mesyuarat dan persidangan itu diketuai Naib Canselor Prof. Datin Paduka Dato’ Aini Ideris yang juga ahli Lembaga Pemegang Amanah ASAIHL yang dilantik mulai 2017. Sebelum ini Naib Canselor UPM telah dipilih menerajui ASAIHL bagi tempoh dua tahun mulai 2015-2016. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dato’ Dr.-Ing Renuganth Varatharajoo dan Ketua Bahagian Pentadbiran, Pejabat Naib Canselor, Mohd Nazri Md Yasin.

Persidangan dirasmikan oleh Naib Menteri Pendidikan Thailand, Dr. Sophon Napathorn. Hadir sama Presiden Naresuan University,Prof. Kehormat Dr. Kanchana Ngourungsi; Pengerusi ASAIHL Thailand, Professor Suchatvee Suwansawat yang juga Presiden King Mongkut's Institute of Technology Ladkrabang  dan Setiausaha Agung ASAIHL Prof Madya Dr. Ninnat Olanvoravuth.

 

Dr. Jean Mac RODA (kanan) dan delegasi UPM

UPM turut terlibat bagi mengenal pasti pelaksanaan dan pembangunan program ASAIHL Mundus dalam kalangan universiti yang terpilih bagi menerajui pembangunan awal program berkenaan.

Prof. Datin Paduka Dato’ Aini positif terhadap perkembangan terbaharu itu dan percaya keterlibatan UPM berupaya merealisasikan pembangunan program ASAIHL Mundus, dan meletakkan Malaysia dalam menerajui kesepakatan universiti Asia-Eropah dengan lebih kukuh. 

Graduan yang akan dihasilkan melalui program itu bakal mempunyai pengalaman pembelajaran yang lebih bersifat antarabangsa kerana program itu mengoptimumkan kepakaran universiti Asia dan Eropah dalam bidang yang dikenal pasti.

Persidangan itu, turut menyaksikan pembentangan Dr Jean Marc RODA daripada Pusat Penyelidikan Pertanian bagi Pembangunan Antarabangsa Perancis (CIRAD) mengenai ‘Sustainable Agricultural Landscapes in South East Asia’ (SALSA) iaitu inisiatif UPM, CIRAD, Universiti Montpellier, dan ASAIHL.

Prof. Dato’ Dr.-Ing. Ir. Renuganth pula membentangkan laporan Malaysia berteraskan kepada tema persidangan, dengan fokus kepada persediaan universiti Malaysia bagi mendepani cabaran revolusi industri 4.0.

Bersama pelajar Naresuan University yang mempamerkan persembahan tradisional semasa Majlis Gala Makan Malam ASAIHL

Kemaskini:: 13/02/2018 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1526818139