| Universiti Putra Malaysia

Anugerah bakar semangat ahli Kelab K3

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 25 April - Anugerah sulung yang dimenangi Kelab Kejurulatihan, Kepemimpinan dan  Keusahawanan Rekreasi Luar (K3), Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Apresiasi Industri dan Komuniti 2017 (ICAN 2017) UPM menyemarakkan lagi semangat ahli-ahli kelab itu untuk meningkatkan lagi program membabitkan komuniti yang dijalankan.

Pengerusi kelab, Iqwan Alif Jaafar berkata, anugerah itu adalah satu pengiktirafan tinggi buat kelab, dan menyifatkannya sebagai penghargaan kepada usaha yang dilaksanakan ole ahli selama ini.

“Ia memberi kepuasan kepada anggota kelab, lebih-lebih lagi kerana ia adalah anugerah pertama seumpamanya yang diterima sejak penubuhan kelab pada tahun 2000.

“Ia menjadi pembakar semangat kepada anggota untuk terus mempergiatkan aktiviti… kita tidak pernah menerima anugerah atau memenangi mana-mana pertandingan sebelum ini,” katanya dalam temu bual di sini.

ICAN adalah program tahunan UPM bertujuan menghargai sumbangan rakan industri dan komuniti terhadap kerjasama dalam menjayakan fungsi ‘Jaringan Industri dan Masyarakat’ universiti.  Majlis apresiasi itu diadakan di Putrajaya 19 April lalu.

Iqwan yang mengikuti pengajian Bacelor Sains Taman dan Rekreasi.berkata kemenangan itu turut mengukuhkan hubungan anggota sekarang dengan kumpulan senior dalam Kelab K3 kerana ia adalah kemenangan untuk semua yang menggerakkan Kelab K3 sejak 2000.  

Katanya, Kelab K3 menjalankan program luar seperti mengatur dan mengelola acara seperti ‘team-building’ dengan membina modul berdasarkan konsep yang dimahukan oleh pelanggan.

Antara aktiviti yang sudah dijalankan tahun ini ialah program ‘dare to speak english’ dalam modul berbentuk rekreasi ‘explorace’, program bersama Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) UPM  di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris (SISFEC) Puchong dan seminar pelancongan tani di The Mines, Sri Kembangan.

Katanya, anggota kelab K3 terdiri daripada pelajar tahun dua Bacelor Sains Taman dan Rekreasi. - UPM      

 

 

SXDdAA6~