| Universiti Putra Malaysia

Anak yatim piatu raih diploma di sebalik kekangan wang

Oleh Syamimie Rozali dan Sarah Nabilah

Photo by Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG, 6 Nov - Status sebagai anak yatim piatu tidak menjadi penghalang untuk Ain’nurulfarhana Ramli meraih Diploma Pengurusan Perladangan Makanan pada Majlis Konvokesyen ke-41 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Ain, 21, anak kelahiran Ipoh, Perak yang dipelihara oleh ibu saudaranya sejak kecil telah kehilangan ibunya sejak dia berusia sebulan dan bapanya ketika beliau berumur enam tahun kerana komplikasi jantung.

Dugaan yang paling mencabar ialah ketiadaan surat akuan sumpah anak angkat menyebabkan Ain sukar memohon biasiswa dan pinjaman PTPTN. Walau bagaimanapun, bebannya diringankan dengan bantuan Zakat Wazan UPM sebanyak RM600 bagi setiap semester.

Bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di Sarawak , Ain bekerja sebagai pembantu gerai runcit UPM Kampus Bintulu Sarawak dan mengajar sambilan tuisyen pelajar SPM .

Himpitan kewangan tidak menghalang Ain aktif dalam  sukan  ragbi sentuh , pidato dan pantun serta pernah meraih pembahas terbaik peringkat daerah Bintulu, Sarawak.

“Oleh kerana saya sibuk dengan aktiviti ko-kurikulum, saya mengulang kaji pelajaran selepas waktu Subuh. Saya percaya sentiasa berbuat baik kepada orang akan mendapat balasan baik, “ujar Ain yang juga Setiausaha  Majlis Tertinggi Mahasiswa UPM Kampus Bintulu. 

SXEaDAg~