| Universiti Putra Malaysia

AIM 2017 perkukuh pengetahuan mengenai perubatan dalaman dan kanser



Oleh: Amira Nadhia Rahmat
Foto: Mohd Azreen Awang

SERDANG, 20 Feb - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Persidangan ‘Advance In Internal Medicine 2017’ (AIM 2017) untuk memperkukuhkan tahap pengetahuan perubatan dalaman dan penyakit kanser kepada golongan profesional perubatan dan masyarakat mengenai perkhidmatan kesihatan di rantau ini.

Pengarah persidangan AIM 2017, Dr. Bahariah Khalis berkata ‘Internal Medicine’ atau Perubatan Dalaman adalah ilmu peringkat perubatan yang amat perlu diguna pakai serta dipertanggungjawab kepada setiap doktor di dunia.

“Ia juga merupakan dasar ilmu perubatan sebelum seseorang doktor mahu ke peringkat sub kepakaran seterusnya seperti pakar neurologi, pakar jantung, pakar buah pinggang dan sebagainya,” katanya.

Pada persidangan itu, satu sesi pre-konferens diadakan. Peserta memberi pandangan berhubung ilmu pengetahuan yang lama dan relevan pada masa kini berkaitan topik yang disediakan.

“Di Malaysia, sesi sebegini amat diperlukan ekoran arus globalisasi terutama era teknologi tinggi yang mungkin tidak menepati pandangan yang disyorkan oleh pakar perubatan,” katanya.

Persidangan itu adalah platform untuk pakar perubatan, paramedik, kejururawatan, yang menyentuh berkaitan penyakit berkaitan kanser darah yang jarang dibincangkan di kalangan masyarakat.

AIM 2017 yang bertemakan ‘Advancing Medicine, Improving Patient’s Outcome’ itu turut dihadiri Dekan FPSK UPM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Jalil Nordin; Ketua Jabatan Perubatan, FPSK, Prof. Madya Dr. Ahmad Fazli Abdul Azizi; dan Naib Canselor merangkap Presiden UCSI University, Prof. Dato’ Dr. Khalid Yusoff. - UPM

WXDdCAp~