| Universiti Putra Malaysia

ADUN Kota Anggerik peroleh ijazah MBA UPM

Oleh: Azman Zakaria

               

SERDANG, 30 Okt - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Anggerik, Selangor, Mohd Najwan Halimi memperolehi ijazah Master Pentadbiran Perniagaan (Tadbir Urus Korporat) Putra Business School pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke – 42 hari ini.

 

Detik bersejarah mula diharunginya pada 23 April lalu sebagai pelajar dan ahli politik ketika tiba di UPM pada jam 7 petang untuk menduduki peperiksaan dan tiba-tiba beliau menerima panggilan telefon mengumumkan beliau mungkin calon yang akan diumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

 

“Mereka meminta saya untuk hadir pada majlis berkenaan di Kuala Selangor. Saya  terus memaklumkan perkara itu kepada pensyarah dan memohon pelepasan untuk menduduki peperiksaan pada hari lain.

 

“Saya tak sempat menduduki peperiksaan malam itu walaupun telah membuat persediaan. Saya bergegas ke Kuala Selangor dan keesokannya baru saya buat surat secara rasmi kepada pensyarah memohon pelepasan untuk fokus kepada kempen yang bertembung dengan hari peperiksaan,” katanya.

 

Beliau akhirnya menang kerusi DUN Kota Anggerik dengan majoriti 7,004 undi dalam saingan tiga penjuru.

 

Katanya, seminggu selepas pilihan raya, barulah beliau menduduki peperiksaan itu seorang diri.

 

“23 April 2018 adalah tarikh penting umpama tarikh keramat yang menentukan hala tuju saya dalam pelajaran dan politik. Alhamdulillah, saya peroleh kedua-duanya, hari ini memperoleh ijazah master dan sebelum itu menjadi wakil rakyat,” katanya.

 

Mohd Najwan, 33, dari Shah Alam berkata, rakan-rakan sekelas terkejut apabila mengetahui beliau menjadi calon pada pilihan raya kerana beliau memang tidak begitu mendedahkan pembabitannya dalam politik sebelum itu kepada orang lain.

 

“Selepas mereka mengetahuinya, ramai yang membantu saya ketika berkempen,” katanya yang mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup dengan Dayana Wahid, 33, dari Kuala Lumpur.

 

Menurutnya, beliau berjinak-jinak dengan politik bermula apabila menjadi exco Persatuan Pelajar Islam di sebuah universiti tempatan.

 

Katanya, kerjaya sebagai wakil rakyat sememangnya mencabar tetapi menyeronokkan kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

 

“Saya perlu bijak membahagi masa untuk keluarga terutama anak-anak yang masih kecil. Memang saya peruntukkan masa untuk mereka, terutama di hujung minggu apabila tiada program,” katanya yang turut berjoging setiap hari sejauh 5 km.

 

Beliau yang mewakili daerah Hulu Selangor dalam sukan tenis ketika sekolah menengah dan mewakili daerah Petaling dalam bola sepak ketika sekolah rendah, mahu memperkasakan diri dalam politik.

 

“Saya mahu ‘establish’ diri dalam politik, dan di masa yang sama berhasrat menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang politik dan pentadbiran ataupun sains politik,” katanya. - UPM

WXEUHAT~