| Universiti Putra Malaysia

7,056 graduan terima ijazah, diploma pada Majlis Konvokesyen UPM ke-39

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan 



SERDANG, 19 Okt – Seramai 7,056 graduan terdiri daripada 469 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,860 Ijazah Sarjana (Master), 4,299 (Bacelor) dan 428 (Diploma) akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-39 pada 31 Oktober hingga 3 November 2015.

Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengurniakan ijazah doktor falsafah, sarjana (Master), bacelor dan diploma kepada graduan pada sesi pertama, hari pertama (31 Oktober) pada majlis yang akan diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Naib Canselor UPM. Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, majlis pengurniaan ijazah sebanyak lapan sesi selama empat hari itu akan turut disempurnakan oleh tiga Pro Canselor UPM iaitu Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin pada sesi kedua (31 Oktober), kelima (2 November), ketujuh (3 November); Tan Sri Lim Ah Lek pada sesi ketiga (1 November), keenam (2 November) dan kelapan (3 November) serta Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada sesi keempat (1 November).

Katanya, UPM juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perladangan kepada Pengerusi United Malacca Bhd,  Tan Siok Choo; serta Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim pada sesi pertama  31 Oktober.

 



Anugerah Profesor Emeritus kepada mantan profesor di Fakulti Sains, Prof. Dr. Karen Anne Crouse @ Ani Abdullah pula akan disampaikan pada sesi kedua 31 Oktober, kata Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi dalam sidang media.

Sementara itu pelajar program Bacelor Sains Pertanian, Ermelia Rohayu Ramlan dipilih memenangi empat hadiah universiti iaitu Hadiah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Pelajaran Diraja (Bumiputera), Pingat Emas Alumni dan Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba, manakala pelajar program Doktor Perubatan Veterinar Ng Geok Lim menerima dua anugerah iaitu Hadiah Pingat Emas Pelajaran Diraja (bukan Bumiputera) dan Pingat Emas Yayasan Pak Rashid.

Hadiah-hadiah itu akan disampaikan Tuanku Canselor.  Baginda juga akan menyampaikan hadiah Pingat Putra Agribio kepada Daniel Mohan Jacob pelajar program Doktor Perubatan Veterinar; Pingat Emas Doktor Falsafah kepada Tumirah Khadirin (PhD Nano Science), Institut Teknologi Maju;  Pingat Emas Master Dengan Thesis kepada Nur Atiqah Mohamad Aziz (Master Kejuruteraan Hijau), Institut Teknologi Maju; Hadiah Buku Tahunan MTDC  (Inovasi/Pengkomersilan/Perniagaan) kepada Phuah Kit Teng (PhD. Perniagaantani), Fakulti Pertanian; dan Hadiah Syed Kechik kepada Yap Ee Lyn (Bacelor Sains (Kepujian) Mikrobiologi), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

Sementara itu, seramai 37 graduan program sulung Bacelor Sains Kepujian (Biologi Sel dan Molekul) dan 177 graduan program sulung Bacelor Pendidikan (Pendidikan Sekolah Rendah) Dengan Kepujian pada sesi 1 (31 Oktober dan 42 graduan Bacelor Sains Taman dan Rekreasi (Sesi 4, 1 November)  akan bergraduat tahun ini.

 



Pelajar sulung bergraduat untuk Program PhD. Dual Degree bersama Universite Montpellier 2 (UM2), Perancis, ialah  Wendy Yeo Wai Yeng dalam bidang Medical Biotechnology, Institut Biosains, pada sesi 3 (1 November).

Pelajar orang kelainan upaya (OKU), program Bacelor Sains Komputer (Multimedia), Suhazli Muhamad akan bergraduat pada Sesi 5 (2 November).

Antara atlet hoki negara peringkat Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang akan bergraduat ialah Farah Ayuni Yahya, Noorhasliza Md Ali dan Siti Shahida Saad (Hoki Wanita) dan Mohd Shukri Abdul Mutalib (Hoki Lelaki).

 



Sementara itu Ermelia Rohayu ketika ditemui berkata beliau terkejut dan hampir tidak percaya memenangi empat hadiah pada konvokesyen tahun ini.

“Kejayaan ini adalah hadih kepada kedua ibu bapa… saya amat bersyukur, pada awalnya saya agak tergamam apabila diberitahu saya memenangi empat hadiah,” katanya.

Ditanya rahsia kejayaannya, Ermelia Rohayu, 24, dari Cheras, Kuala Lumpur berkata, selain berusaha, beliau sentiasa memohon doa dan restu daripada ibu bapa.

“Dengan doa ibu bapa, kita akan merasa tenang dan dapat melakukan sesuatu dengan baik. Hampir setiap hari saya menelefon kedua ibu bapa,” katanya. - UPM


WXDdRAr~