| Universiti Putra Malaysia

60 pelajar UPM bantu program pembangunan komuniti Kampung Bukit Lintang

Oleh Syifarida Mohammed Zaki
Foto oleh Marina Ismail



JOHOR - Seramai 60 pelajar tempatan dan antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Pengarah program, Amirul Shazriel Madjeli berkata antara aktiviti menarik ialah penyerahan anak angkat, gotong-royong membersihkan kawasan kampung, gerak usahawan Kota Tinggi di mana setiap pelajar dibekalkan dengan produk jualan orang kampung seperti kerepek ubi dan kuih siput untuk dijual di sekitar Pekan Kota Tinggi.

“Penglibatan pelajar dapat meningkatkan kemahiran insaniah bukan akademik dalam membentuk sahsiah, profesionalisme pelajar, melahirkan graduan yang berkualiti dan modal insan yang cemerlang.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata program dijangka mengambil masa selama dua tahun bagi melihat impak pembangunan komuniti.

“Hasil analisis mendapati Bukit Lintang mempunyai potensi untuk pembangunan persekitaran, pendidikan, kemahiran dan ekonomi penduduk setempat.



“UPM akan memfokuskan kepada enam bidang utama iaitu Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti kerepek ubi dan kuih siput, pertanian, pengindahan landskap, keseniaan dan kebudayaan, homestay dan pendidikan anak-anak.

“Lokasi kampung yang strategik kerana hanya 60 kilometer dari Bandar Johor Bahru dan dikelilingi dengan kawasan menarik ini boleh dijadikan tarikan pelancongan seperti air terjun Kota Tinggi, Gunung Panti, Gunung Mentahak, Gunung Dagok, Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan banyak lagi,” katanya.



Selain itu, penduduk kampung berpeluang mendapat khidmat nasihat pakar –pakar UPM dan pemeriksaan kesihatan melalui lot pameran oleh Fakulti Pertanian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Pusat Kesihatan Universiti, Taman Pertanian Universiti, Institut Penyelidikan Produk Halal, Fakulti Perhutanan dan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi.


SXDdPAP~