| Universiti Putra Malaysia

57 pelajar UPM anjur Program Siswa@Kampung 2015

Oleh Alinaemah Laily Mohamed Yusof



HULU SELANGOR, 4 Dis – Seramai 57 pelajar Kursus Bakti Siswa (QKK2101), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Program Siswa@Kampung 2015 di Kampung Fajar, Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Majlis perasmian program yang dijalankan pada 5 Disember 2015 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan.

Program yang bertemakan ‘Siswa@Kampung’ merupakan program anak angkat yang diadakan setiap semester oleh PKPP UPM terdiri daripada Kumpulan 14 dan 22 Kursus Bakti Siswa dipimpin oleh dua orang fasilitator.

Ia diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).  



Peserta berkongsi pengetahuan (knowledge transfer) bersama penduduk Kampung Fajar.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan dijalankan bersama penduduk kampung melibatkan semua peringkat umur selama tiga hari dua malam. Antaranya, ceramah mengenai pengguna bijak bagi meningkatkan kesedaran tentang hak dan tanggungjawab pengguna dan cara alternatif untuk mengurangkan perbelanjaan harian.

Para pelajar Bakti Siswa UPM juga turut memberi khidmat bakti (giving back to community) dengan program seni mural, bergotong-royong dan menyumbang anak pokok bagi tujuan keindahan.



Kehadiran para pelajar juga memberikan pengalaman bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan mengeratkan ukhuwah yang terjalin melalui aktiviti moreh, sukan persahabatan dan persembahan kebudayaan pada hari kedua.

Program ini juga merupakan aktiviti hands on kepada para pelajar dalam menguasai Kemahiran Insaniah (soft skills) yang amat diperlukan sebagai nilai tambah dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan kelak. - UPM


WXESVA1~