45 Atlet Dari UPM Terima Insentif Kecemerlangan Atlet | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » 45 atlet dari UPM terima Insentif Kecemerlangan Atlet

45 atlet dari UPM terima Insentif Kecemerlangan Atlet


Oleh: Azman Zakaria
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 16 Nov: Seramai 45 atlet dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mewakili negara pada Sukan Universiti Asean di Singapura, Julai lalu menerima insentif daripada UPM, baru-baru ini.

Turut menerima insentif pada majlis itu ialah atlet menembak negara dari UPM,  Jonathan Wong Guanjie yang beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan UPM, Mohamad Azwar Bakar@Ibrahim, yang beraksi dalam acara ping pong pada Sukan Paralimpik Rio.

Dua lagi atlet UPM yang mewakili negara pada Sukan Olimpik Rio – Cheong  Jun Hoong (acara terjun) dan Zaidatul Husniah Zulkifli (olah raga) – sudah menerima insentif pada majlis sebelum ini.  

Insentif berupa wang tunai itu disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Atlet Sukan UPM di sini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Mohd Azmi Mohd Lila dan Ketua Pusat Sukan UPM, Dr Hanafiah Ayub.

Antara atlet yang menerama insentif pada majlis itu ialah Zaidatul Husniah (olah raga), Ahmad Luth Hamizan (olah raga ), Natasha Ezzra Abu Bakar (lawan pedang), Mohd Firdaus Ishak (memanah), Nur Atiqa Azizi (memanah) dan Saritha Cham Nong (memanah) yang masing-masing memenangi pingat emas pada Sukan Universiti Asean Singapura dari 8 hingga 21 Julai lalu.



Ketika berucap, Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkata, UPM mewujudkan Skim Insentif Kemenangan Atlet bertujuan memberi dorongan dan suntikan motivasi kepada atlet UPM.

Melalui skim itu, atlet yang berjaya memenangi pingat untuk negara layak menerima insentif. Nilai insentif berdasarkan taraf kejohanan dan pencapaian seperti Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea dan Sukan Para Asean.

Katanya, melalui insentif itu, UPM juga meluluskan pemberian geran mobiliti akademik dan pengecualian yuran pengajian bagi semester semasa dan semester berikutnya.

Beliau berharap insentif itu menjadi satu motivasi luaran dan galakan yang berkesan bagi atlet mencapai kemenangan yang lebih besar dalam kejohanan dunia.

“Untuk terus cemerlang, kita tidak boleh berhenti dan berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.

“Kejayaan pada masa sekarang sepatutnya menjadi penanda aras untuk para atlet mencipta lebih kejayaan di masa akan datang,” katanya. - UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860643