| Universiti Putra Malaysia

200 PESERTA DARI 20 BUAH UNIVERSITI AWAM SERTAI NUCC 2019

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul bin Abdul Jabar

 

SERDANG – Seramai 200 orang peserta dari 20 buah universiti awam menyertai Persidangan Kebangsaan Kokurikulum Universiti 2019 (NUCC)  pada 10 – 11 Julai lalu, yang menjadi platform perkongsian pengalaman, kepakaran dan inovasi dalam pengendalian kursus kokurikulum berkredit di universiti awam Malaysia.

Persidangan merangkumi pembentangan kertas kerja dan pertandingan inovasi berkaitan pengajaran dan pembelajaran kokurikulum di universiti dengan penekanan mengenai kepentingan elemen kemahiran insaniah yang perlu diterapkan di kalangan pelajar agar mereka menjadi graduan yang hebat secara holistik.

 

Sebanyak 42 kertas kerja dibentangkan manakala terdapat 30 penyertaan pertandingan inovasi berkaitan pengajaran dan pembelajaran kokurikulum. Bagi penyertaan inovasi, Universiti Utara Malaysia memenangi tempat pertama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (kedua), dan Universiti Malaysia Kelantan (ketiga).

Persidangan itu dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Kokurikulum Universiti-Universiti Malaysia (UniCC) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Ucaptama persidangan disampaikan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Shatar Sabran dengan tajuk “Credited C0- Curricular: Evolution & Transformation” dan Prof. Dr. Mohd Zaki Kamsah dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor dengan tajuk “Developing Sustainable Communities Through SULAM Embedded Co- Curriculum”.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan Antarabangsa) Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin ketika merasmikan persidangan itu berkata, pemerkasaan kursus kokurikulum dalam sistem pengajian tinggi wajar diberi penekanan sama seperti kurikulum teras yang lain kerana kokurikulum merupakan pelengkap kepada kitaran kurikulum yang memberikan penekanan kepada komponen psikomotor dan afektif.

“Pihak institusi pengajian tinggi disaran membentuk kursus kokurikulum berkredit mereka sendiri yang mengandungi hasil pembelajaran berteraskan elemen kemahiran insaniah yang tidak terhad kepada kursus kokurikulum yang sedia ada tetapi melangkaui aktiviti kehidupan kampus,” katanya.

Pengerusi UniCC, Prof. Dato Dr. Saharuddin Abdul Hamid pula berkata beliau  berbesar hati dapat berkolaborasi dengan UPM dan disokong oleh Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Katanya, UNiCC yang ditubuhkan pada 2010 adalah sebuah majlis yang mengumpulkan Pengarah, Dekan atau Ketua Pusat Kokurikulum Universiti Awam dan Pengarah BMH Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) merupakan Penasihat UniCC.

Katanya, majlis itu merupakan platform utama kepada Pusat Kokurikulum Universiti Awam untuk membincangkan hal berkaitan Kursus Kokurikulum Berkredit bagi mendapatkan amalan terbaik dalam pelaksanaannya.  UniCC juga memainkan peranan sebagai pengantara di antara Kementerian Pendidikan dalam penyaluran maklumat berkaitan dengan pembangunan Kemahiran Insaniah.

Pengarah persidangan, Prof. Dr. Paramasivam Muthusamy berkata persidangan yang julung kali diadakan itu memberi kefahaman mengenai pengendalian kursus yang menerapkan elemen kemahiran insaniah yang mula diperkenalkan pada 2007.

“Peserta seminar diberikan kefahaman mengenai kepentingan elemen Kemahiran Insaniah yang perlu diterapkan dalam setiap pengajian kursus agar pelajar mampu menjadi hebat bukan sahaja daripada segi ilmiah tetapi juga kerohanian,” katanya.

Katanya, persidangan itu secara langsung menyediakan tempat untuk pakar bidang kokurikulum, tenaga pengajar, jurulatih dan guru kokurikulum sekolah berkongsi pandangan untuk perkembangan aktiviti kokurikulum di universiti dan sekolah.

“Ini untuk memahami kepentingan penerapan elemen kemahiran insaniah kepada pelajar dalam melahirkan pelajar yang cemerlang secara holistik serta agar konsep “Giving Back to Communities” dan kesukarelawan dapat diaplikasikan pada Kursus Kokurikulum Berkredit,” katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman. - UPM

WXDdSAX~