| Universiti Putra Malaysia

15 Subjek UPM 200 Terbaik Dunia Qs World University Rankings


Subjek Pertanian dan Perhutanan kekal 100 terbaik dunia 4 tahun berturut-turut

Oleh : Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG, 22 Mac  - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membuat lonjakan dari 13 ke 15 subjek dalam kedudukan 200 terbaik QS World University Rankings By Subject 2016 yang baru diumumkan pada 22 Mac hari ini.

UPM membuat lonjakan daripada 13 subjek pada tahun lalu kepada 15 subjek dan mengekalkan kedudukan 100 terbaik dunia dalam subjek Pertanian dan Perhutanan selama empat tahun berturut-turut sejak tahun 2014.

UPM turut meraih kedudukan 150 terbaik dunia bagi tiga subjek iaitu subjek Perakaunan dan Perbankan (tahun kedua berturut-turut); Kejuruteraan Kimia; Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Kejuruteraan Mekanikal, Aeronotikal dan Pembuatan, dan Pendidikan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris merakamkan ucapan tahniah kepada semua staf dan pelajar yang telah menyokong kejayaan entiti-entiti UPM yang terlibat dalam meningkatkan prestasi institusi pada peringkat dunia.

“Kenaikan jumlah subjek kepada 15 dan mengekalkan subjek Pertanian dan Perhutanan dalam 100 terbaik dunia buat tiga tahun berturut-turut adalah sesuatu prestasi yang membanggakan untuk UPM kerana persaingan dan prestasi agak memberangsangkan dari institusi serantau.

“Pencapaian itu turut disumbangkan oleh Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul serta institut-institut UPM yang berkaitan Pertanian menunjukkan UPM berjaya membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan kualiti graduan.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkata antara kriteria dalam penarafan itu ialah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, dan H-Indeks.

“Untuk menjamin kelangsungan prestasi cemerlang UPM pada masa hadapan, UPM berusaha meningkatkan skor bagi setiap indikator yang memfokuskan akademik dan penyelidikan, penerbitan, jaringan dalam dan luar negara,” katanya.

 


WXEUKAO~