14 SUBJEK UPM 200 TERBAIK ‘QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT 2018’ | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » 14 SUBJEK UPM 200 TERBAIK ‘QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT 2018’

14 SUBJEK UPM 200 TERBAIK ‘QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT 2018’

Subjek Pertanian dan Perhutanan 100 terbaik dunia selama enam tahun berturut-turut

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG  - Sebanyak 14 subjek Universiti Putra Malaysia (UPM) berada pada kedudukan 200 terbaik dalam QS World University Rankings by Subject 2018 yang baru diumumkan pada 28 Februari lalu.

UPM juga mengekalkan kedudukan 100 terbaik dunia dalam subjek Pertanian dan Perhutanan selama enam tahun berturut-turut.

Subjek Kejuruteraan – Kimia turut mengekalkan kedudukan 100 terbaik dunia  buat dua tahun berturut-turut.

Selain itu 23 subjek UPM turut disenaraikan dalam 400 terbaik dunia.

UPM berjaya membuat peningkatan ranking apabila tersenarai dalam kalangan 100 universiti terbaik dunia dalam dua kluster bidang pengajian (Broad Subject Areas) iaitu bidang Engineering & Technology serta Social Sciences & Management.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris merakamkan ucapan tahniah kepada semua staf dan pelajar yang telah menyokong kejayaan semua subjek-subjek yang terlibat.

“Usaha mengekalkan kedudukan 100 subjek terbaik dunia iaitu subjek Pertanian dan Perhutanan buat enam tahun berturut-turut dan Subjek Kejuruteraan – Kimia kali kedua berturut-turut adalah prestasi yang membanggakan untuk UPM kerana persaingan agak memberangsangkan dari institusi serantau.

“Pencapaian kesemua subjek tersebut menunjukkan UPM berjaya membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan kualiti graduan,” katanya.

Prof. Aini berkata antara kriteria dalam penarafan itu ialah pembinaan profil kukuh ahli akademik, penyelidikan berimpak tinggi, pengembangan dan pengajaran kepada masyarakat dan pengiktirafan majikan terhadap graduan di seluruh dunia.

“Peningkatan prestasi fakulti dan institut bidang itu di UPM dalam  aspek pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan jaringan antarabangsa dan kebangsaan turut membantu ranking,” katanya.

Maklumat lanjut keputusan QS World University Ranking 2018 boleh didapati melalui

laman web : https://www.topuniversities.com/subject-rankings/2018

Tarikh Input: 02/03/2018 | Kemaskini: 05/03/2018 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537401880