| Universiti Putra Malaysia

100 orang sertai program mesra kubur Tanah Perkuburan Islam Kariah Serdang

Oleh: Norhisyam Nordin

 

SERDANG, 4 Okt  - Kira-kira 100 orang menyertai program menanam pokok dan membersihkan kubur bagi mengindahkan lagi suasana Tanah Perkuburan Islam Kariah Serdang Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Program Mesra Kubur (Tanam Pokok Bunga) dan Aktiviti Plogging membersihkan kubur daripada sampah itu dianjurkan bersama Pusat Islam Universiti, UPM, Jawatankuasa Masjid Jamek Qaryah Serdang, Sahabat Masjid UPM, Taman Pertanian Universiti (TPU), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Skuad Belia Serdang dan Persatuan Wanita Bistari Serdang. 

 

Aktiviti itu  disertai staf, pelajar UPM dan Ahli Kariah Serdang.

Ia merupakan program mini bertujuan menjadikan tanah perkuburan sebagai taman perkuburan dengan mengindahkan lagi suasana persekitaran dengan pokok-pokok bunga serta membersihkan tanah perkuburan itu melalui aktiviti plogging sampah sarap. 

Ia juga secara tidak langsung boleh menerapkan nilai murni kepada peserta mengenai alam sekitar, selain dapat menyihatkan tubuh badan.

Sebelum aktiviti bermula, penyelaras aktiviti, Norhisyam Nordin memberikan taklimat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya peserta dapat mengikuti SOP yang ditetapkan.

Taklimat ringkas mengenai cara  menanam pokok dan plogging juga disampaikan.

Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan bagi memudahkan aktiviti dilaksanakan. Mereka diberikan alatan termasuk sarung tangan, cangkul, kulir, plastik sampah untuk aktiviti menanam pokok bunga dan plogging, 

 

Norhisyam berkata, aktiviti itu berjaya mencapai matlamat di samping turut memberi semangat kepada peserta dalam berbudi kepada tanah.

Selain itu, dapatan dari aktiviti berkenan berjaya mengeratkan lagi hubungan antara ahli kumpulan dan juga hubungan pelajar bersama staf UPM serta masyarakat setempat yang turut membawa anak-anak mereka menyertainya. - UPM

 

WXEYDA2~