Terapi Hutan Untuk Pesakit Psikiatrik | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Terapi Hutan untuk Pesakit Psikiatrik

Terapi Hutan untuk Pesakit Psikiatrik

Masalah kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa. Masalah ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor dalaman dan luaran seperti kewangan, tekanan keluarga, tiada atau kehilangan kerja, buli, penceraian dan lain-lain.

Pelbagai pendekatan terapi digunakan oleh pakar psikiatris, selain pesakit diberi pelbagai ubat bagi membendung dan mengawal tingkah laku mereka.

Kerajaan  melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan banyak institusi psikiatri untuk merawat pesakit mental serta mengambil pelbagai pendekatan dalam mendidik masyarakat mengenai pentingnya kesihatan mental serta bagaimana untuk kita memainkan peranan membantu mereka agar dapat sembuh dan diterima semula dalam masyarakat. Tidak dinafikan juga ada pesakit yang sudah sembuh, kembali mengalami tekanan mental.

Kita sedia maklum perimeter pesakit psikiatrik lebih terkawal di dalam hospital, dan ada yang diasingkan atas tujuan keselamatan. Namun, bagi pesakit psikiatrik yang tidak begitu agresif, keadaan terkongkong dalam bilik pesakit boleh menambah lagi kekacauan dalam jiwa dan meningkatkan keadaan stres.

Terapi hutan merupakan salah satu kaedah yang dipraktikkan di negara maju seperti Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Utara dalam membantu mengurangkan masalah tekanan yang dialami pesakit mental.

Di Amerika Syarikat, terapi hutan juga dikenali sebagai “forest bathing”, dan dianggap satu kaedah terapi kesihatan yang terbaharu. Amos Clifford, pengasas The Association of Nature and Forest Guides Programs, menggabungkan teknik terapi hutan dengan pengalaman atau penghayatan di alam semula jadi melalui meditasi dan fisioterapi.

Di dalam hutan juga, kita dapat lari kesibukan serta bunyi bising dan ia memberi ketenangan. Prof. Iwao Uehara, pakar terapi hutan daripada Tokyo University of Agriculture (NODAI), Tokyo, Jepun menjalankan penyelidikan terhadap tingkah laku pelajar yang belajar di dalam dan luar bilik kuliah, mendapati persekitaran luar yang hijau merubah emosi pelajar serta lebih menerima diversiti antara satu sama lain.

Selain itu, sudah menjadi kebiasaan dan aktiviti rutin bagi warga emas di negara matahari terbit itu gemar meluangkan masa di taman yang penuh dengan kehijauan sebagai suatu rutin harian kerana ia dipercayai memanjangkan “jangka hayat” kehidupan di samping mengekalkan kesihatan.

Kebanyakan rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar berbanding luar bandar, maka kita kehilangan faedah kesihatan yang hanya diperoleh dalam suasana luar bandar yang penuh dengan kehijauan.

Namun, kita mempunyai banyak hutan yang boleh dijadikan lokasi untuk terapi hutan bagi membantu pesakit psikiatrik. Setidak-tidaknya pesakit mental dapat meluangkan masa berada di tempat baharu yang lebih memberikan ketenangan serta peluang kepada mereka untuk melakukan aktiviti perkongsian personal dan interpersonal termasuk aktiviti bersifat kecergasan di lapangan bersama-sama pesakit lain.

Kos menjalankan terapi hutan ini juga tidak tinggi kerana hanya perlu hutan yang sesuai untuk diakses. Pelbagai aktiviti boleh distrukturkan bagi melihat tindak balas pulih yang ditunjukkan oleh pesakit sebelum dan selepas terapi hutan ini dijalankan.

Di dalam hutan, mereka boleh berjalan menikmati keadaan tenang, di samping berbincang dengan pesakit lain. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan. Pakar psikologi juga biasanya akan mengadakan sesi perkongsian masalah bersama pesakit yang boleh atau berani menyuarakan masalah mereka.

Di dalam hutan, mereka boleh jadi lebih bebas daripada segi pemikiran kerana alam semula jadi memberi sifat penyembuhan kepada pesakit. Sebagai contoh, meditasi merupakan satu daripada cara untuk mendapatkan ketenangan dalam diri, tetapi sekiranya dilakukan di kawasan seperti taman yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan atau dalam hutan, meditasi akan menjadi lebih bebas dan rasa percaya pada diri sendiri akan meningkat.

Pada masa kini, penyelidikan dalam bidang terapi hutan bersama Tokyo NODAI masih dalam peringkat perbincangan antara Prof. Uehara dan pakar psikiatri tempatan kerana kami perlu mempunyai rangka kerja terapi hutan yang bersesuaian dengan permasalahan yang dialami oleh pesakit psikiatri.

Terapi hutan bukan sahaja salah satu kaedah alternatif dalam membantu menangani masalah kesihatan mental bahkan juga tidak memerlukan kos yang tinggi. 

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 1 Ogos 2017

 

Dr. Daljit Singh Karam
Fakulti Pertanian, UPM
Email: daljitsingh@upm.edu.my

Kemaskini:: 03/08/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1529685073