SELAMATKAH PEMAKAIAN KANTA SENTUH KETIKA PANDEMIK COVID-19? | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » SELAMATKAH PEMAKAIAN KANTA SENTUH KETIKA PANDEMIK COVID-19?

SELAMATKAH PEMAKAIAN KANTA SENTUH KETIKA PANDEMIK COVID-19?

Ringkasan Artikel
Dianggarkan terdapat 140 juta pemakai kanta sentuh di seluruh dunia. Kanta sentuh tidak hanya digunakan bagi menggantikan pemakaian kaca mata, malah juga digunakan untuk rawatan teraputik dan kosmetik


Oleh: Nursyuhada Jamaludin

Image download at Pixabay.com https://pixabay.com/photos/lens-contact-lens-eyes-lens-vision-4818784/

Pasti ramai pemakai kanta sentuh tertanya-tanya selamatkah untuk mereka memakai kanta sentuh ketika pandemik Covid-19 sekarang.

Dianggarkan terdapat 140 juta pemakai kanta sentuh di seluruh dunia. Kanta sentuh tidak hanya digunakan bagi menggantikan pemakaian kaca mata, malah juga digunakan untuk rawatan teraputik dan kosmetik.

Justeru, tidak hairan sekiranya pemakaian kanta sentuh menjadi ‘trend’ ketika ini. Namun, adalah penting bagi pemakai kanta sentuh untuk mengetahui langkah terbaik penjagaan kanta sentuh terutamanya ketika pandemik Covid-19.

Walaupun tiada kajian saintifik yang membuktikan pemakaian kanta sentuh meningkatkan risiko dijangkiti Covid-19 berbanding bukan pemakai kanta sentuh, namun langkah pencegahan dan keselamatan amat penting dan perlu dititikberatkan bagi memastikan pemakainya selamat dan bebas daripada Covid-19.

Amalan tahap kebersihan diri yang tinggi antara kunci pencegahan penularan wabak itu selain mencegah risiko komplikasi pemakaian kanta sentuh seperti ulser kornea ‘microbial keratitis’ dan kornea bernanah ‘cornea infiltrates’.

Kajian soal selidik di Amerika Syarikat dan Ireland mendapati 96% daripada responden menggunakan sabun dan air untuk mencuci tangan sebelum memakai dan menanggalkan kanta sentuh. Sebanyak 56% daripada responden kurang memakai kanta sentuh ketika pandemik Covid-19 kerana kebanyakan mereka kurang keperluan untuk berada di luar rumah dan kebanyakan bekerja dari rumah.

Namun, terdapat hasil kajian yang menunjukkan 11% daripada 262 pemakai kanta sentuh tidak mematuhi modaliti pemakaian dan buangan kanta sentuh, manakala 18% masih meneruskan pemakaian kanta sentuh walaupun tidak sihat dan bergejala seperti demam dan selesema. Pemakai kanta sentuh jenis buangan mingguan atau bulanan menunjukkan kurang kepatuhan penjagaan dan modaliti pemakaian kanta sentuh berbanding pemakai kanta sentuh jenis buangan harian.

Tips dan habit yang baik untuk pemakaian dan penggunaan kanta sentuh dengan cara yang betul amat perlu dititikberatkan oleh si pemakai seperti yang disarankan oleh The American Optometric Association, Centres for Disease Control & Prevention dan pelbagai institusi penyelidikan di dunia.

Hentikan pemakaian kanta sentuh sekiranya sakit dan mengalami gejala atau simptom seperti demam, selsema dan batuk.

Elakkan menyentuh muka, mata, hidung dan mulut. Ini boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 terutamanya jika tangan kotor dan terus menggunakan kanta sentuh tanpa mencuci tangan.

Amalan tahap kebersihan diri yang tinggi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan Covid-19 seperti kerap mencuci tangan sebelum memakai dan menanggalkan kanta sentuh. Kanta sentuh perlu dicuci menggunakan teknik yang betul sekiranya ia jenis buangan mingguan atau bulanan.

Pemakai kanta sentuh jenis buangan mingguan atau bulanan pula perlu mematuhi modaliti pemakaiannya. Jangan memakai kanta sentuh melebihi masa yang ditetapkan.

Penggunaan cecair pencuci kanta sentuh yang bersesuaian mengikut jenis kanta sentuh perlu dipraktikkan dalam rutin penjagaan kanta sentuh bagi mengelakkan kanta sentuh itu kotor dan tidak dicuci dengan baik.

Elakkan mencucinya menggunakan air paip atau berenang dengan menggunakan kanta sentuh kerana ia meningkatkan risiko jangkitan kuman seperti Pseudomonas Aeuroginosa dan Acanthamoeba Sp. yang boleh menyebabkan ulser kornea seterusnya mengakibatkan kebutaan. 

Buang bekas simpanan kanta sentuh yang lama setiap kali mendapat bekas yang baharu, atau cuci bekas kanta sentuh kerana bekas yang kotor boleh menyebabkan pemakai kanta sentuh senang mendapat jangkitan.

Elakkan membeli kanta sentuh dari pasar malam, kedai runcit atau secara atas talian tanpa mendapatkan preskripsi dan konsultasi daripada Optometris bertauliah.

Pemakaian kanta sentuh ketika pandemik Covid-19 adalah selamat asalkan si pemakai tahu garis panduan dan langkah yang betul dalam pemakaiannya. Setiap pemakai kanta sentuh perlu untuk merujuk dan melakukan pemeriksaan mata dengan Optometris bertauliah bagi mengetahui tahap kesihatan mata dengan pemakaian kanta sentuh.

Justeru, pemakai kanta sentuh seharusnya melakukan rawatan susulan selepas dipreskripsi dengan kanta sentuh.

Dalam kata mudah, kanta sentuh boleh diibaratkan seperti span, yang menyerap dan meresap apa sahaja yang berada di sekelilingnya. Jika kotor persekitarannya maka kadar kebolehjangkitan dan komplikasi akibat pemakaian kanta sentuh pada mata adalah sangat tinggi.

Jagalah diri dan sayangilah mata kerana ia anugerah Tuhan yang harus dijaga sebaiknya kerana tanpa penglihatan yang baik dunia seseorang akan gelap.

 

Nursyuhada Jamaludin
Pegawai Optometri
Klinik Pakar Oftalmologi
Hospital Pengajar UPM (HPUPM)
Emel: nursyuhada_j@upm.edu.my
No.HP: 013-2827610

Tarikh Input: 11/05/2021 | Kemaskini: 11/05/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CULeNAt:13:58