| Universiti Putra Malaysia

PROGRAM MOBILITI PACU DAYA SAING GRADUAN

Ringkasan Artikel

Isu pengangguran dalam kalangan graduan universiti tempatan yang sering dikaitkan dengan kemampuan daya saing untuk menjadi calon pilihan majikan...

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris** 
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 24 APRIL 2019.

Oleh Profesor Dr. Nor Kamariah Noordin

Isu pengangguran dalam kalangan graduan universiti tempatan yang sering dikaitkan dengan kemampuan daya saing untuk menjadi calon pilihan majikan terus mendapat perhatian khalayak. Pelbagai laporan sebelum ini menunjukkan isu ini kelihatan agak serius sehingga menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran di negara kita. Hakikatnya pada hari ini berlaku persaingan yang sengit dalam kalangan graduan tempatan untuk “mencuri hati” para majikan supaya mereka menjadi pilihan utama. Justeru pihak universiti di samping membekalkan ilmu pengetahuan, terpaksa juga mengambil inisiatif tambahan bagi memperlengkapkan diri graduan yang dihasilkan supaya dapat terus bersaing di alam pekerjaan kelak.

Dalam hal ini salah satu program signature yang cukup signifikan di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara kita yang dilihat mampu meningkatkan keyakinan dan daya saing graduan tempatan ialah penganjuran program mobiliti ke luar negara.

Untuk itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) secara berterusan menggalakkan semua pelajar UPM menyertai program mobiliti. Bagi membuktikan keseriusan tersebut, UPM turut menjadikan penganjuran program mobiliti sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh setiap Fakulti. Misalnya bagi Fakulti Kejuruteraan telah ditetapkan sasaran pencapaian mobiliti sebanyak 230 orang sepanjang tahun 2018 dan Fakulti berjaya mencapai bilangan 238 orang iaitu melebihi sasaran asal.

Malah sepanjang tiga bulan pertama tahun ini saja seramai 57 orang pelajar Fakuliti Kejuruteraan telahpun menyertai program mobiliti di luar negara. Antara program mobiliti pelajar Fakulti Kejuruteraan yang mempunyai nilai impak yang cukup tinggi ialah, program mobiliti ke Yildz Technical University, Istanbul, program mobiliti ke University Shizuoka, Jepun, Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun serta program mobiliti ke University of Western Australia dan Engineering Institute of Technology. Ringkasnya program mobiliti sudahpun menjadi aktiviti wajib semua Fakulti di UPM.

Antara manfaat utama program mobiliti ialah, pelajar dapat mempelajari pelbagai kemahiran baharu dalam bidang mereka sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi di negara kita. Di samping itu pelajar juga dapat mempelajari budaya, nilai dan etika serta amalan positif dari negara luar sebagai panduan kehidupan seharian. Sudah semestinya pengalaman seperti ini akan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mematangkan tahap pemikiran graduan kita.

Lawatan ke negara-negara terpilih seperti Australia, Turkey, Jepun, Korea Selatan dan China pastinya akan membuka mata dan minda pelajar kita untuk keluar dari zon selesa dan melihat gaya kehidupan masyarakat luar. Lawatan ke Jepun dan Korea Selatan misalnya cukup selari dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur dan amat menggalakkan rakyat kita mencontohi nilai-nilai etika, moral, semangat kerjasama dan tidak mudah putus asa serta keazaman orang Jepun khususnya yang bangkit dari kegagalan serta peperangan sehingga muncul sebagai negara maju dalam pelbagai aspek terutamanya sains, teknologi dan kejuruteraan.

Justeru penulis yakin jika semua pelajar universiti dapat menyertai program mobiliti pasti ianya akan menyumbang kepada peningkatan daya saing dalam kalangan graduan kita agar lebih bersedia ketika menempuh alam pekerjaan kelak. Dalam hal ini inisiatif pihak universiti sudah cukup jelas, malah Fakulti Kejuruteraan UPM sendiri memasang tekad untuk memastikan semua pelajar fakulti dapat menyertai program mobiliti ke luar negara sekurang-kurangnya satu kali dalam sepanjang tempoh pengajian mereka di UPM. Maka terpulanglah kepada pelajar itu sendiri sama ada mahu atau tidak merebut peluang yang telah disediakan ini.

Ironinya pada hari ini majikan tidak lagi melihat kepada pencapaian akademik graduan semata-mata sebaliknya mula menilai kelebihan lain yang mereka miliki antaranya, kemampuan untuk berkomunikasi dengan baik terutamanya dalam Bahasa Inggeris, memilliki kemahiran kepemimpinan, boleh bekerja dalam pasukan serta memiliki daya pemikiran luar kotak yang mampu menampilkan diri seseorang graduan itu lain daripada yang lain. Universiti percaya kemahiran dan pendedahan yang diperolehi di luar bilik kuliah seperti melalui program mobiliti akan memberikan pengalaman dan pengetahuan yang berguna kepada graduan. Pengalaman inilah kelak akan menjadi senjata utama graduan untuk memasarkan diri mereka ketika mencari peluang pekerjaan.

Secara prinsipnya walaupun tanggungjawab universiti lebih kepada membekalkan ilmu pengetahuan, kemahiran akademik dan teknikal yang diperlukan mengikut bidang pengajian masing-masing, namun atas dasar tanggungjawab moral dan sosial, universiti harus terus mengambil inisiatif bagi menggalakkan seramai mungkin pelajar mengikuti program mobiliti sebelum menamatkan pengajian. Semoga sumbangan dan inisiatif kecil universiti ini dapat membantu memacu daya saing dan kualiti graduan seperti yang diperlukan oleh pihak industri dan juga negara.

Profesor Dr. Nor Kamariah Noordin
Dekan
Fakulti Kejuruteraan

SXDcTAR~