Potensi Pelancongan Sukan Jana Ekonomi Negara | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Potensi pelancongan sukan jana ekonomi negara

Potensi pelancongan sukan jana ekonomi negara

Dalam keadaan pasaran ekonomi dunia yang tidak menentu, sektor pelancongan dilihat masih bertahan menjadi salah satu penggerak kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebagai sebuah negara bersaiz kecil, segmen pelancongan antarabangsa adalah lebih penting berbanding dengan pelancongan domestik.

Aliran perbelanjaan pelancong antarabangsa merupakan eksport perkhidmatan di dalam pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Perangkaan menunjukkan defisit imbangan perdagangan perkhidmatan semakin melebar, meningkat daripada RM11 bilion pada 2014 kepada RM19 bilion pada 2016. Justeru itu, penganjuran sukan antarabangsa bukan sahaja dilihat berpotensi mengurangkan defisit imbangan perdagangan perkhidmatan malah memberi impak kepada ekonomi setempat melalui perbelanjaan pelancong asing.

Kajian di negara-negara lain jelas mendapati penganjuran sukan mega antarabangsa seperti Olimpik, Piala Dunia FIFA dan perlumbaan Formula Satu (F1) memberi impak yang signifikan kepada negara penganjur. Kepentingan sukan mega antarabangsa kepada ekonomi telah mendorong kebanyakkan negara-negara seperti United Kingdom, Jerman dan Jepun menyusun Akaun Satelit Sukan.

Malaysia kerap kali menganjur sukan mega antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi, Piala Monsun dan MotoGP. Sejauhmanakah penganjuran sukan antarabangsa ini menyumbang kepada KDNK dan penciptaan peluang pekerjaan kepada rakyat. Jawapan kepada persoalan ini memerlukan kepada kajian yang spesifik dan keperluan kepada penyusunan Akaun Satelit Sukan. Untuk rekod, buat masa ini Malaysia hanya menyusun Akaun Satelit Pelancongan dan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Penyusunan Akaun Satelit Sukan penting bagi memantau perkembangan industri sukan dan bagi merangka strategi-strategi untuk memaksimakan impak ke atas ekonomi keseluruhannya. Tambahan pula, pelancongan sukan adalah sangat berkait rapat dengan segmen pelancongan budaya dan kesihatan.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Malaysia akan menganjurkan sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur. Kajian impak sukan SEA ke-29 ke atas ekonomi Malaysia sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). Diharap dapatan kajian ini dapat mendorong kepada usaha penyediaan Akaun Satelit Sukan di Malaysia.

Dr. Mohd Yusof Saari
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan,
Universiti Putra Malaysia

Email: mysaari@gmail.comyusofsaari_upm@upm.edu.my

Tarikh Input: 28/08/2017 | Kemaskini: 28/08/2017 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537440844