| Universiti Putra Malaysia

Isu Pasir Gudang: Info tak sah, viral orang ramai dan pakar tak bertauliah sensasikan isu tanpa bukti saintifik

Ringkasan Artikel

Kita dikejutkan sekali lagi dengan berita kemungkinan berlakunya pusingan kedua pencemaran udara akibat toksik industri...

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 19 JULAI 2019.**

Oleh Prof Madya Dr Malina Osman

Kita dikejutkan sekali lagi dengan berita kemungkinan berlakunya pusingan kedua pencemaran udara akibat toksik industri di Pasir Gudang.

Saban hari ketika itu, berita-berita mengenai pelajar dan kakitangan yang terlibat dimuatkan untuk makluman serta diolah dalam keadaan yang begitu sensasi. 

Demikian juga lontaran-lontaran idea ilmiah atau pandangan cendekiawan, memberikan saranan berkaitan sebagai penambahbaikan dalam mengatasi isu tersebut dalam kadar segera.

Sudah pasti, isu yang melibatkan komuniti dan kesihatan umum menarik minat setiap individu dalam masyarakat terutama mereka yang terlibat dalam urusan pentadbiran, penyelidikan-penyelidikan mahupun mereka yang berada di barisan hadapan dalam perkhidmatan jagaan kesihatan.

Dalam menganalisa berita semasa dan juga makluman-makluman pihak berkuasa, dari segi corak epidemiologi (atau disebut taburan penyakit yang berkaitan pencemaran toksik industri) terdapat penemuan pola taburan kes yang pada pandangan saya tidak munasabah.

Kes-kes yang menunjukkan gejala klinikal hanya dilaporkan berlaku di kalangan komuniti yang berada di sekolah; namun dalam komuniti di luar sekolah; ianya tidak pula dilaporkan. Ianya mungkin ada, namun kita percaya sekiranya sumber isu kesihatan tersebut berpunca dari udara, ia sudah pasti memberikan implikasi pada masyarakat yang bukan sahaja berada di kawasan sekolah tetapi juga mereka yang berkongsi udara yang sama di luar sekolah.

Sebagai individu yang pernah terlibat di balik tabir dalam agensi kerajaan untuk kawalan penyakit, saya sedia maklum bahawa agensi-agensi berkenaan sudah pasti bertindak menurut SOP masing-masing untuk mengekang perebakan.

Dalam isu yang melibatkan masyarakat sedemikian, sudah pasti bilik gerakan akan segera beroperasi dalam tempoh 24 jam serta saluran bertindak mereka yag terlibat dikerah dalam memastikan tiada kesan tidak diingini berlaku.

Namun, seperti biasa tindakan patriotik agensi-agensi terlibat tidak dihebahkan secara ‘viral’; cukup dengan hebahan kepada umum bahawa tindakan yang sewajarnya telah dan sedang diambil pada ketika itu.

Golongan doktor profesional dalam kesihatan awam terutamanya memahami bahawa menangani isu yang melibatkan masyarakat perlu ditangani dengan bijak serta mengutamakan saluran maklumat disampaikan dengan tepat dan benar tanpa campur aduk unsur sensasi serta mencari ruang menyalahkan pihak-pihak tertentu. Demikian juga mereka yang berperanan dalam kesihatan persekitaran. Semuanya memberikan komitmen untuk mengatasi isu tersebut.

Susulan tindakan tersebut, agensi-agensi kerajaan terlibat berkali-kali memaklumkan bahawa isu di Pasir Gudang tiada kena mengena dengan bahan toksik industri seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Meskipun terdapat makluman kedudukan industri di Pasir Gudang yang memerlukan penambahbaikan, pengesanan indeks pencemar udara tidak menemukan sebarang hasil yang positif.

Namun kebolehcapaian platform media di mana semua individu termasuk yang bukan pakar bidang berpeluang menyampaikan pandangan, menyebabkan tularnya berita yang mengaitkan kejadian kes myokimia ke atas seorang kanak-kanak serta kematian seorang wanita yang berlaku ketika itu dihebohkan akibat pencemaran toksik industri di situ.

Sehinggalah tulisan pandangan Prof. Dr Hamidon Basri, Pakar Neurologi UPM menjelaskan bahawa myokimia merupakan gejala tidak spesifik, ia berlaku akibat tekanan (stress) dan pulih jika keadaan tersebut dirawat, demikian juga penafian pihak keluarga yang kematian akibat anggota keluarga, berita tular sedemikian reda.

Kita semua akhirnya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar psikiatri bahawa apa yang berlaku di Pasir Gudang adalah manifestasi psikologi akibat kebimbangan kemungkinan berulangnya episod seperti yang pernah mereka lalui.

Isu di pasir Gudang baru-baru ini adalah isu yang telah disensasikan tanpa menunggu hasilan dan penjelasan dari mereka yang pakar dan mereka yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu tersebut.

Tekanan mendapatkan maklumat terkini oleh media, kegopohan sebahagian ahli akademik melontarkan pandangan yang masih belum terbukti benar, ‘trend’ sebahagian masyarakat meng’viral’kan isu yang dikaitkan dengan pencemaran toksik meskipun ianya tiada bukti saintifik menyebabkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat berpanjangan dengan kegelisahan yang tidak menentu.

Mereka yang bertindak sedemikian pasti mempunyai niat tersendiri, namun untuk kebaikan masyarakat; kita semuanya perlu berganding bahu untuk sama-sama menyumbang idea yang konstruktif serta bertindak dalam ruang kemampuan masing-masing.

Setiap kita mempunyai peranan. Mungkin dalam strata masyarakat, pakar bidang dipandang tinggi, namun kejayaan dalam menangani isu-isu kesihatan masyarakat sebenarnya ditentukan oleh kesediaan setiap individu masyarakat untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Kembalikanlah peranan pakar di tempatnya, jangan pula kita terus memandai membuat telahan dan berkongsi untuk meng’viral’kan isu yang tidak benar. Saya juga adalah sebahagian masyarakat, kita semua perlu sama-sama menyumbangkan kebaikan untuk masyarakat. 

 

Penulis:

Prof Madya Dr Malina Osman

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik)

Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan

WXDcXAU~