Cabaran Malaysia Baharu - Ke Arah IPTA Dan IPTS Menjadi Satu Sistem Pendidikan Tinggi Negara | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Cabaran Malaysia Baharu - Ke Arah IPTA dan IPTS menjadi satu sistem pendidikan tinggi negara

Cabaran Malaysia Baharu - Ke Arah IPTA dan IPTS menjadi satu sistem pendidikan tinggi negara

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**

Oleh Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan

Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), kedua-duanya di bawah dua akta yang berbeza untuk memenuhi objektif penubuhan iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Penubuhan IPTA merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses ke pendidikan tinggi yang diberikan kepada semua golongan sama ada pelajar daripada keluarga berkemampuan ataupun keluarga B40.

Saluran kemasukan perdana daripada keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi mahupun asasi universiti adalah berteraskan kepada merit. Terdapat saluran alternatif untuk membantu golongan yang perlu diberikan perhatian seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), golongan B40 dan atlit kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara.

Sama ada saluran perdana mahupun saluran alternatif, ia tetap menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa semua golongan adalah terbela.

Sementara IPTS ditubuhkan untuk memberikan akses alternatif kepada golongan yang berkemampuan daripada dalam atau luar negara. Ia dilihat sebagai  pelengkap kepada keseluruhan sistem pendidikan tinggi di dalam negara.

IPTS sememangnya dibangunkan di atas dasar menjadikan pendidikan tinggi negara sebagai satu industri yang boleh menjenamakan Malaysia di peringkat global. Malah, negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, IPTS merupakan peneraju pendidikan tinggi negara tersebut dan nama mereka gah seantero dunia seperti Harvard University, Yale University dan Massachusetts Institute of Technology. 

Dalam lanskap pendidikan tinggi negara pada masa ini, Universiti Awam (UA) dilihat masih lagi merupakan destinasi pendidikan tinggi yang dipercayai. Universiti Penyelidikan (RU) iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah  lima universiti yang menjadi pilihan utama kepada pelajar-pelajar di dalam negara. Saban tahun, bilangan pemohon yang diterima adalah melebihi tempat yang mampu ditawarkan oleh kelima-lima universiti ini, maka RU mempunyai kelebihan untuk memilih calon yang terbaik dalam meneruskan legasi kecemerlangan universiti.

Di dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pencapaian Universiti Swasta juga semakin meningkat. Ini adalah kerana budaya kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan pengembangan yang telah sekian lama diamalkan oleh UA telah mula diterapkan pada Universiti Swasta seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Multimedia, Universiti Taylor’s dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Universiti swasata tersebut telah mula menonjolkan diri dengan lebih gah lagi di peringkat antarabangsa dan kecemerlangan mereka membantu kecemerlangan negara dalam melonjakkan lagi jenama pendidikan tinggi Malaysia untuk membantu ke arah sasaran 200,000 orang pelajar antarabangsa pada tahun 2020.

Sahutan untuk merevolusikan pendidikan tinggi negara selaras dengan Malaysia baru boleh dilihat di dalam usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyelaraskan laluan masa hadapan pendidikan di IPTA dan IPTS sebagai satu usaha yang holistik.

Kecemerlangan yang telah selama ini ditunjukkan oleh IPTA boleh dijadikan sebagai pencetus kesan domino kepada pendidikan tinggi di Malaysia secara keseluruhan dan menaikkan lagi jenama pendidikan tinggi negara di peringkat global.

Justeru itu, kita perlu bersama-sama mencari formula untuk meningkatkan lagi kecemerlangan bersama untuk IPTA dan IPTS. IPTA dan IPTS perlu bekerjasama untuk mencari bidang kolaborasi yang boleh memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif sejak tahun 2017 untuk meneroka kerjasama antara UPM dan IPTS di sekitar Serdang. Satu kelebihan yang tidak banyak dipunyai oleh institusi yang lain adalah kedudukan UPM yang disempadani oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL).

Ini memberikan satu akses yang sangat baik untuk ketiga-tiga universiti bagi mengadakan mobiliti antara pelajar dan pensyarah tanpa melibatkan masalah logistik. Memorandum persefahaman juga membolehkan pelajar daripada ketiga-tiga universiti ini mengikuti kelas yang diadakan di mana-mana universiti antara UPM, UNITEN dan IUKL.

Ini adalah sebagai satu usaha berterusan dalam menjadikan UPM, UNITEN dan IUKL boleh dilihat sebagai hub pendidikan yang luas di kawasan Serdang dan Kajang. Maka, pelajar UA boleh melihat bagaimana pembelajaran diadakan di universiti swasta dan sebaliknya, termasuk interaksi antara kedua-duanya.

Ini akan dapat membuka minda bakal graduan dan menjadikan kualiti graduan Malaysia secara umum adalah sama tinggi tanpa mengira IPTA atau IPTS. Ini merupakan satu contoh kerjasama sinergi yang dapat diadakan di antara UA dan US.

Usaha ke arah menjadikan sistem pendidikan tinggi negara perlu dijadikan sebagai usaha di peringkat kebangsaan. Di dalam membantu kepada usaha itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mendapat cadangan supaya akta untuk mentadbir kedua-dua IPTA dan IPTS perlu disatukan dan dilihat secara menyeluruh.

Ini dapat dilakukan bersekali dengan kewujudan akta universiti baru yang sedang digubal oleh KPM. Maka, peluang ini mampu mewujudkan ekosistem yang mapan antara IPTA dan IPTS dan seterusnya IPTA dan IPTS dilihat sebagai satu entiti iaitu IPT Malaysia.

Akhirnya nanti jenama pendidikan tinggi Malaysia akan terus dikenali dan disegani di peringkat global. Harapan kami rakyat Malaysia agar ini akan seterusnya akan menjadikan anak-anak kami yang kelak akan menjadi hasil kejayaan IPT Malaysia akan dikenali sebagai graduan berkualiti tinggi untuk diterima masuk di mana-mana industri di peringkat nasional mahupun global.

 

Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)

Tarikh Input: 23/10/2019 | Kemaskini: 29/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUMGMAK:12:45