| Universiti Putra Malaysia

Sudah tiba negara menyediakan muzium maritim dan kajian arkeologi bawah air.

Ringkasan Artikel

Jumpaan beberapa artifak berupa serpihan seramik, syiling mata wang lama dan serpihan kayu dipercayai rangka kapal dagang yang ditemui di kawasan paya bakau sekitar Pulau Melaka-Taman Melaka Raya 17 September 2020 lalu membuka lagi lembaran baru penemuan sejarah maritim negara

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris

Oleh  Dr. Mohd Rohaizat Bin Abdul Wahab

 

Jumpaan beberapa artifak berupa serpihan seramik, syiling mata wang lama dan serpihan kayu dipercayai rangka kapal dagang yang ditemui di kawasan paya bakau sekitar Pulau Melaka-Taman Melaka Raya 17 September 2020 lalu membuka lagi lembaran baru penemuan sejarah maritim negara.

Penemuan rangka kapal ini dianggarkan berusia lebih 900 tahun dahulu iaitu semasa zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka telah mendapat liputan media dan tinjauan PERZIM dan Pesuruhjaya Warisan.

Penemuan ini merupakan rentetan daripada beberapa jumpaan rangka perahu yang pernah dilaporkan sebelum ini seperti jumpaan artifak bersama rangka kapal yang berusia 1,000 tahun yang ditemui di Sungai Pahang pada 14 Ogos 2020.

Namun mengikut laporan, rangka kapal dipercayai berada di dasar sungai tersebut dan sukar untuk dilihat disebabkan air keruh.

Laporan yang sama juga berkaitan dengan penemuan beberapa kapal purba yang masih lagi tertimbus di dalam kawasan berpaya di Sungai Batu pada 31 Ogos 2015, jumpaan beberapa buah perahu sagor di sekitar Kedah pada tahun 2002 yang sekarang ini dipamerkan di Muzium Lembah Bujang dan beberapa jumpaan lain.

Jumpaan ini juga penting kerana ia dapat menentukan pentarikhan yang boleh dibuktikan dengan ujian pada artifak yang telah dijumpai dan penelitian pada rangka perahu bagi melihat penggunaan teknik pembuatan kapal tersebut.

Dalam kajian arkeologi maritim, jumpaan rangka Perahu Pontian di selatan Pahang merupakan penemuan terawal di rantau asia tenggara yang pernah dilaporkan iaitu pada Jun 1926 oleh I.H.N. Evan. Rangka perahu yang dijumpai adalah terdiri daripada empat keping papan, tujuh batang kun dan satu batang linggi.

Dengan penemuan rangka kapal ini, dapat dibuktikan bahawa kapal tersebut dianggarkan dibina sekitar abad ke-3 hingga ke-5 Masihi. Teknik pembuatan kapal tersebut juga mempunyai ciri yang unik iaitu menggunakan ikatan, pasak dan tambuku.  

Ramai penyelidik mengesahkan bahawa teknik pembuatan perahu ini merupakan teknik yang hanya ada di Asia Tenggara sahaja sehingga penyelidik dari Perancis iaitu Prof. Pierre-Yves Manguin menggelarkan teknik pembuatan perahu ini sebagai “Tradisi Laut China Selatan”.

Namun apa yang berlaku di negara kita sekarang ini, artifak atau jumpaan rangka perahu pontian yang ditempatkan di salah sebuah galeri di pantai timur tidak dipelihara dengan sempurna.

Rangka perahu ini berupa papan kayu lama ditempatkan secara terbuka mengundang kepada serangan serangga yang boleh merosakkan jumpaan rangka perahu tersebut. Konservasi perlu dilakukan bagi menghalang berlakunya pelapukan pada kayu-kayu tersebut.

Penyelidik UPM menyarankan perlu adanya kesedaran bagi memelihara warisan maritim yang terawal dijumpai di Asia Tenggara ini dengan meletakkan di tempat yang bersesuaian.

Negara juga perlu mewujudkan sebuah muzium maritim memfokuskan kepada sejarah maritim negara dan rantau asia tenggara. Muzium ini menjadi pusat pameran pelbagai jenis perahu yang ada di rantau asia tenggara dan menjadi pusat konservasi kepada rangka perahu yang pernah dijumpai sebelum ini.

Selain berfungsi sebagai galeri pameran dan pemuliharan, muzium juga berfungsi sebagai wadah bagi menyemai semangat kebangsaan dan jati diri menerusi pendedahan jumpaan bahan bersejarah ini.

Universiti dan institusi penyelidikan juga perlu memberikan tumpuan dalam penyelidikan bidang maritim dan arkeologi bawah air di rantau asia tenggara bagi menyelamat dan memelihara warisan negara ini.

Bidang ini penting bagi menjejak sejarah dan tinggalan aktiviti masyarakat dahulu yang masih lagi tertanam di dasar laut. Penemuan artifak juga penting bagi membuktikan adanya hubungan masyarakat setempat dengan masyarakat asing seperti jumpaan seramik dan duit syiling yang boleh dikenalpasti negara asalnya.

Program kesedaran kepada rakyat juga penting tentang menjaga khazanah warisan negara ini. Sekiranya terdapat individu atau mana-mana kumpulan yang menjumpai artifak bersejarah perlu melaporkan terus kepada Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara atau pegawai daerah berhampiran bagi mengelak artifak ini dicuri dan disalah guna.

Mengikut Akta 654, pihak kerajaan boleh menyediakan pampasan kepada sesiapa yang menjumpai artifak bersejarah, pemilik tanah memberi hakmilik yang di dalamnya atau di atasnya objek itu dijumpai dan juga kepada sesiapa yang memberi maklumat. Pampasan atau ganjaran ini telah diamalkan di beberapa negara seperti di Sweden dan Itali bagi mengawal artifak negara dijual dalam pasaran gelap.

 

 

Dr. Mohd Rohaizat Abdul Wahab

Penyelidik Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM),
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Penolong Setiausaha, Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM)
Bidang Kepakaran : Arkeologi Maritime, Etnosains
Nombor Telefon: 012-681 2270

WXDcRAX~