| Universiti Putra Malaysia

Pencemaran Sisa Industri di Pasir Gudang

Ringkasan Artikel

Insiden pencemaran industri yang terjadi buat kali kedua di kawasan Pasir Gudang, Johor amat dikesali. Masyarakat menuntut keberanian pihak berkuasa untuk lebih tegas dalam menangani isu ini...

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di KOSMO pada 7 JULAI 2019.**

Oleh Dr. Mohd Yusoff Ishak

Insiden pencemaran industri yang terjadi buat kali kedua di kawasan Pasir Gudang, Johor amat dikesali. Masyarakat menuntut keberanian pihak berkuasa untuk lebih tegas dalam menangani isu ini memandangkan risiko terhadap nyawa.

Ironinya, insiden pada 20 Jun lepas terjadi belum pun sempat tertuduh pada kejadian pertama di kawasan sama 7 Mac lalu dijatuhi hukuman. Lebih mengecewakan, jumlah wang jaminan tertuduh diturunkan serta dibenar ikat jamin yang jelas menunjukkan kelembutan hati apabila berdepan dengan industri.

Sebagai peringatan, insiden 7 Mac lepas melibatkan hampir 6 ribu orang terpaksa mendapatkan rawatan selepas mengalami muntah, pening dan sebagainya akibat terhidu sisa toksik yang dibuang ke dalam sungai. Manakala 111 buah sekolah terpaksa ditutup dengan ribuan lagi turut terjejas secara tidak langsung.

Alasan kekangan logistik dalam memantau kawasan berisiko tinggi seperti Pasir Gudang ini sehingga terjadi insiden kedua tidak boleh diterima. Penyelesaian terkini seperti penggunaan drone bagi memantau kualiti air dan udara secara masa nyata serta langkah proaktif dengan mewajibkan pihak industri melaporkan data bahan kimia masing-masing secara berkala harus dipertimbangkan pihak berkuasa.

Adalah disarankan agar dana khas sumbangan pihak industri diwujudkan bagi membolehkan mekanisma pencegahan, pemuliharaan dan pembaikan kawasan yang terjejas akibat pencemaran. Dana ini juga boleh membiaya program latihan serta pengupayan komuniti, pemantauan oleh pihak berkuasa selain sebagai platform gantirugi atau pampasan terhadap mangsa dan kos pembaikan sungai terbabit.

Mahkamah Khas bagi kes pencemaran alam sekitar perlu diwujudkan dengan segera seperti yang pernah dilaksanakan di Sabah. Pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekelling yang sedang diperhalusi sekarang harus memperuntukkan denda maksimum serta penjara mandatori bagi pesalah.

Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada semua bahawa pencemaran alam sekitar boleh membunuh. Tindakan culas atau keputusan tamak seseorang pemandu lori ataupun CEO adalah sama impaknya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

Pakar kualiti sumber air dan udara dari universiti tempatan perlu turun padang bersama-sama dengan agensi kerajan bagi membantu masyarakat meningkatkan tahap kesedaran bagi menghadapi bencana ini agar kajian mereka dapat dimanfaatkan.

Dalam usaha menyelaras tindakan, agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) harus diterajui profesional daripada skim teknikal selain menjadikan pencemaran alam sekitar sebagai senarai keutamaan. NADMA harus proaktif dengan kesemua pihak berkepentingan dalam menerajui tindakan di lokasi.

Mekanisma piawai first responder dalam melaksanakan tugasan masing-masing perlu ditambahbaik. Pengetahuan teknikal mereka harus dipertingkat dari semasa ke semasa seiring dengan pertambahan bahan kimia di pasaran. Tindakan segera menghantar pelajar ke hospital adalah dipuji. Namun pada masa yang sama ibu bapa harus dimaklumkan agar tidak timbul sebarang salah faham.

Senarai kawasan panas di mana sering berlaku pencemaran alam sekitar perlu diwujudkan dan dikongsi bersama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia contohnya agar tindakan pencegahan awal dapat diselaraskan dengan lebih mantap.

Sistem sokongan lebih menyeluruh serta melibatkan ketiga-tiga peringkat kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan amat diperlukan. Penglibatan agensi seperti JPAM, BOMB, Rela dan JKKK umpamanya perlu diperkasa dalam memastikan pelan pengurusan kawasan bencana dapat diselaras antara agensi.

Lebih banyak kajian dan penyelidikan diperlukan bagi mengenalpasti dengan terlebih awal punca pencemaran serta jenis bahan cemar. Kepakaran pihak universiti dalam disiplin forensik alam sekitar perlu digunapakai bagi memperkukuh kes apabila dibawa ke pengadilan.

Pendekatan sains perlu dalam mendidik masyarakat tentang sifat bahaya bahan cemar serta kawasan tebaran bahan cemar agar masyarakat maklum tentang risiko kawasan berkenan serta boleh mengambil langkah waspada selain memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam apa jua keadaan.

Masyarakat setempat perlu dilibatsama dalam memantau tahap pencemaran sesebuah lokasi. Sebagai contoh program Citizen Science di mana murid sekolah serta masyarakat diberi latihan pengupayaan dalam memantau tahap kualiti air sungai menggunakan beberapa organisma petunjuk.

Masyarakat yang aktif dalam media sosial memerlukan pihak berkuasa yang proaktif dan pantas dalam menyalur maklumat terkini menggunakan pelbagai media. Ini secara tidak langsung boleh membantu dalam memberi amaran awal mengikut tahap pencemaran selain mengelakkan situasi panik.

Ketelusan dan kepantasan pemerintah dalam memberi maklumat secara berkala akan membolehkan masyarakat merancang serta mengambil langkah proaktif yang sewajarnya dalam membantu mengurangkan impak pencemaran.

Pelan pembangunan kawasan Pasir Gudang harus diteliti semula dengan mengambilkira potensi berlakunya kes serupa pada masa hadapan. Kerajaan perlu lebih cerewet dalam memastikan tidak ada lagi industri serupa diwujudkan agar tidak berlaku penambahan risiko.

Pihak industri sendiri perlu berubah ke arah yang lebih mesra alam selain perlu melihat semula rantaian nilai masing-masing agar tiada sebarang ancaman terhadap kesihatan awam.

Kita tidak boleh berkompromi dengan insiden sebegini jika tidak mahu ia berulang untuk kali ketiga dan seterusnya. Apa yang perlukan sekarang adalah ketegasan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di Pasir Gudang terus terpelihara.

Dr. Mohd Yusoff Ishak

Pensyarah Kanan

Jabatan Pengurusan Alam Sekitar

Fakulti Pengajian Alam Sekitar

WXDdMA2~