Konsep Halalan Toyyiban Dalam Sumber Makanan Ternakan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Konsep Halalan Toyyiban dalam sumber makanan ternakan

Konsep Halalan Toyyiban dalam sumber makanan ternakan

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 14 MAC 2019.

Oleh Muhamad Amin Jahari

Bermula 1 Januari 2019, penggunaan antibiotik dalam industri makanan haiwan ternakan telah diharamkan sepertimana yang diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pada Disember tahun lalu.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah bakal berhadapan risiko lesen perniagaannya akan ditarik balik.

Pengharaman tersebut adalah suatu tindakan yang wajar kerana penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan boleh menyebabkan status kehalalan sesuatu produk diragui kerana ianya berpotensi membawa kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Halal bererti sesuatu perkara, benda, atau perbuatan yang diizinkan dan dibolehkan oleh Allah SWT dan istilah ‘halal’ biasanya dikaitkan dengan makanan yang dibolehkan untuk makan menurut hukum Syara’ Islam.

Mengikut klausa 2.3 Standard Malaysia MS1500:2009 pula, makanan halal bererti makanan dan minuman atau sumber bahan pembuatannya adalah dibenarkan hukum Syara’ dan tertakluk kepada; selamat untuk dimakan, tidak beracun, tidak memabukkan, atau tidak memudaratkan kesihatan.

Manakala konsep Halalan Toyyiban pada haiwan ternakan juga adalah lebih luas dan bukan sahaja melibatkan isu sembelihan, tetapi juga aktiviti sebelum sembelihan seperti sumber pemakanan haiwan, malah pengendalian sebelum dan selepas sembelihan.

Makanan haiwan merupakan elemen penting dalam rantaian bekalan produk halal dan selamat untuk dimakan memandangkan ianya secara tidak langsung boleh mempengaruhi daging haiwan, telur mahupun susu yang dihasilkan.  

Justeru, amatlah penting sumber makanan haiwan itu halal bagi memastikan kelangsungan produk makanan yang halal dan selamat untuk kegunaan manusia.

Kepentingan sumber makanan haiwan yang halal sering diabaikan dan tidak dianggap sebagai salah satu aspek penting dalam memastikan kehalalan dan keselamatan sesuatu produk makanan terjamin.

Namun, kebelakangan ini masyarakat mula mengambil berat mengenai isu sumber makanan yang diberikan kepada haiwan semasa di ladang dan kesannya terhadap kesucian dan keselamatan manusia berikutan sikap tidak bertanggungjawab segelintir penternak yang memberikan berbagai-bagai bahan makanan untuk mempercepatkan tumbesaran ternakan tanpa mengambil kira soal kesucian dan keselamatan. 

Dalam industri ternakan komersial, makanan haiwan mewakili 70% daripada kos keseluruhan penternakan.

Justeru, bagi menjimatkan kos, haiwan diberikan antibiotik dan hormon tumbesaran untuk meningkatkan seleranya dan tumbesarannya, di samping berbagai lagi sumber protein tambahan lain yang murah seperti bahan berasal daripada khinzir, bangkai binatang yang tidak disembelih dan bahan buangan rumah sembelihan (darah dan najis).

Penggunaan antibiotik boleh menyebabkan bakteria dalam haiwan ternakan menjadi kebal dan bakteria tersebut berpotensi untuk berpindah ke tubuh manusia melalui makanan berasaskan haiwan tersebut.

Akibatnya, antibiotik yang diberikan sebagai rawatan kepada manusia tidak lagi berkesan kerana bakteria sudah ‘mengenali’ antibiotik tersebut.

Ini menyebabkan banyak penyakit sukar dirawat dan memerlukan formulasi antibiotik baharu.

Oleh itu, Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain telah mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan selain berkaitan perubatan untuk membendung krisis yang berpunca daripada kekebalan antibiotik.

Situasi ini telah membuka jalan kepada para saintis bagi mencari sumber alternatif semula jadi bagi menggantikan antibiotik dan membawa kepada penemuan probiotik, iaitu makanan tambahan yang mengandungi bakteria baik melekat pada dinding usus bagi membantu penghadaman.

Seperti antibiotik, probiotik boleh meningkatkan tumbesaran haiwan ternakan dengan meningkatkan penghadaman dan penyerapan nutrisi makanan oleh haiwan.

Malahan, probiotik berkeupayaan menghasilkan vitamin seperti vitamin C dan beberapa jenis vitamin B seterusnya menguatkan sistem ketahanan haiwan daripada serangan penyakit.

Tidak seperti antibiotik, probiotik tidak akan menyebabkan kekebalan bakteria kepada antibiotik yang kemudian boleh menjangkiti manusia.

Sebaliknya, probiotik mampu menstabilkan jumlah bakteria baik dan jahat dalam usus haiwan.

Sehubungan itu, sekumpulan saintis dari Universiti Putra Malaysia (UPM)telah mencipta produk probiotik ‘Thohira’ yang merupakan bahan peransang haiwan.

Menurut ketua penyelidik merangkap Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) UPM, Prof Dr Shuhaimi Mustafa teknologi itu berasaskan formulasi daripada sisa industri tempatan iaitu isirung kelapa sawit (palm kernel cake, PKC) bersama mikrokapsul mikroorganisma.

Beliau berkata, teknologi ini secara tidak langsung menyelesaikan isu penggunaan antibiotik dan sumber haiwan sebagai bahan makanan ternakan kerana PKC mengandungi prebiotik yang merupakan makanan kepada probiotik atau mikroorganisma.

Probiotik membiak dalam usus haiwan seterusnya meningkatkan tumbesarannya dengan membantu penghadaman makanan dan penyerapan nutrisi yang lebih tinggi oleh haiwan.

Dalam erti kata lain, penggunaan antibiotik adalah tidak perlu lagi kerana sudah ada alternatif semula jadi untuk mempercepatkan tumbesaran haiwan ternakan sekali gus mengurangkan kos penternakan.

PKC juga berasaskan tumbuhan, jadi, tiada lagi isu halal yang melibatkan sisa haiwan digunakan dalam makanan ternakan.

Selain itu, produk ini diperbuat daripada bahan mentah tempatan iaitu PKC yang mudah didapati sepanjang tahun, membuatkan harganya stabil kerana negara kita merupakan antara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia.

Kesimpulannya, makanan haiwan adalah penyumbang utama kepada tumbesaran haiwan yang mana ianya juga akan memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia. Justeru, adalah sangat mustahak bagi semua pihak untuk memastikan kesucian dan keselamatan sumber makanan haiwan seperti tidak menggunakan antibiotik dalam menjaga kemaslahatan umat manusia.

Muhamad Amin bin Jahari

Pegawai Penyelidik

Sains Haiwan

Institut Penyelidikan Produk Halal



Date of Input: 22/10/2019 | Updated: 29/11/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKWHAu:07:33