Cokmar


Cokmar Universiti Putra Malaysia sebagai lambang kuasa Universiti dianugerahkan dengan limpah kurnia oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 1977, bersempena dengan pelantikan Canselor yang pertama, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj, D.K., D.M.N., S.P.M.S., D.K. (Brunei), D.K. (Johor), S.P.D.K. (Sabah), D.P. (Sarawak), D.U.N.M. (Melaka), P.J.K.

Cokmar ini diperbuat daripada emas dan perak, panjangnya 1.4 meter dan beratnya 8.0 kilogram. Ia dibahagikan kepada tiga (3) bahagian, iaitu obor, batil dan turus.

Obor melambangkan peranan universiti ini sebagai penyuluh ilmu pengetahuan. Di pangkal obor ini dikelilingi oleh kalimah “Bismillahirrahmanirrahim” yang menunjukkan bahawa semua pekerjaan yang dilakukan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan adalah dengan keizinan Allah S.W.T. Di bawahnya terukir dengan huruf rumi nama 'Universiti Putra Malaysia'.

Batil melambangkan tempat terkandungnya ilmu pengetahuan. Di bahagian atas batil ini terukir lencana Persekutuan dan Negeri di Malaysia. Di sekeliling batil ini terukir lencana Malaysia, bunga raya, dan lencana Universiti Putra Malaysia sebagai tempat wujudnya ilmu pengetahuan itu di negara ini.

Batil ini dialas oleh kelopak bunga yang terukir dengan bunga padi. Kelopak bunga ini pula terletak pada lima buah buku yang terbuka menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan di universiti ini boleh dituntut dan diperoleh oleh setiap rakyat. Lima buah buku melambangkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas pembangunan dan perkembangan universiti. Pada halaman buku yang terbuka itu terukir masjid negara, tengkolok diraja, sebilah keris dan lencana persekutuan, bangunan parlimen, hakim sedang berbicara dalam mahkamah, neraca keadilan dan buku undang-undang, Jalur Gemilang, dan empat suku bangsa terbesar di Malaysia.

Turus mengandungi tiga bahagian yang melambangkan tiga fungsi utama Universiti, iaitu menyampaikan pengajaran, menjalankan penyelidikan, dan memberikan perkhidmatan profesional kepada masyarakat. Ukiran gambar di setiap bahagian mencerminkan peranan dan fungsi tersebut. Turus ini dikelilingi oleh daun lontar yang melambangkan aspek karya penulisan. Turus ini terletak di atas perdu yang terukir dengan lima lambang yang menggambarkan aspek kebudayaan Malaysia, iaitu tentang agama Islam, cara hidup, pendidikan, alat muzik tradisional dan alat permainan tradisional. Umbi yang terletak di bawah perdu terukir dengan garisan kecil di tengah melambangkan wawasan Universiti yang sentiasa ke hadapan.